Tindakan SKMM sekat laman sesawang bersifat penjajahan - Chin Huat

Mariah Ahmad
Ogos 27, 2015 20:07 MYT
CHIN HUAT: Bersih 2.0 mendesak agar SKMM menarik balik segala sekatan yang dilakukan kerana tindakan itu meletakkan ekonomi Malaysia pada risiko yang tinggi. - Gambar Astro AWANI
Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil, Bersih 2.0 menyifatkan tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mahu menyekat laman-laman sesawang yang mempromosi, menyebarkan maklumat serta menggalakkan orang ramai untuk turut serta ke Perhimpunan Bersih 4.0 adalah bersifat kolonial.
Penyelaras Sumber Bersih 2.0, Dr Wong Chin Huat berkata, tindakan SKMM itu dilhat seperti "penjajah" yang menggugat demokrasi dan ekonomi negara.
"Tindakan SKMM itu juga menunjukkan mesej yang salah kepada keadaan ekonomi negara. Aliran kebebasan maklumat, internet, boleh dikatakan syarat sebuah ekonomi moden untuk beroperasi. Malaysia tidak mempunyai ekonomi yang besar seperti China, sehingga mahu menyekat media sosial dinegaranya," jelasnya dalam satu sidang media Bersih 4.0 di Hotel Crystal Crown di sini, hari ini.
Jelasnya lagi, Bersih 2.0 mendesak agar SKMM menarik balik segala sekatan yang dilakukan kerana tindakan itu meletakkan ekonomi Malaysia pada risiko yang tinggi.
Beliau turut mengulas kenyatan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang berpendapat sekiranya demonstrasi itu diteruskan juga, ia akan menggugat lagi keyakinan pelabur.
"Saya rasakan Rahman Dahlan harus mengikut arus masa. Ini kurun ke-21, dan di mana-mana negara yang bertamadun, perhimpunan aman adalah sebahagian daripada proses politik yang biasa.
"Kalau kita adakan perhimpunan, kemudian pelabur tidak datang dan sebagainya saya rasa seluruh dunia barat sudah pun bankrap kerana mereka setiap minggu di ibu kota ada pelbagai perhimpunan yang besar dan kecil," jelasnya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Bersih 2.0, New Sin New berkata tindakan SKMM itu mencabuli Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
"Mahkamah telah putuskan kebebasan bersuara adalah termasuk kebebasan mendapatkan maklumat. Anda tidak boleh bersuara jika anda tidak mendapat maklumat yang sewajarnya. Apa yang dilakukan MCMC ini ialah penapisan maklumat dan mencabuli Perkara 10 Perlembagaan Pesekutuan.
"SKMM sepatutnya menunjukkan bagaimana berita mengenai Bersih 4.0 boleh menggugat ketenteramaan orang awam.
Jika mereka melakukan sekatan ini tanpa justifikasi, jadi saya percaya kami perlu pertimbangkan untuk membawa SKMM ke Mahkamah kerana semua orang mempunyai kebebasan bersuara di bawah perkara 10 ini. Kami juga pertimbang untuk saman SKMM," jelasnya dalam sidang media yang sama.
SKMM pada Khamis memutuskan untuk menyekat laman-laman sesawang yang mempromosi, menyebarkan maklumat dan menggalakkan orang ramai untuk turut serta ke Perhimpunan Bersih 4.0.
Amaran itu dikeluarkan kerana dipercayai boleh mengganggu-gugat kestabilan negara, lanjutan dari kenyataan media oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
#Bersih 2.0 #Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil #Kementerian Dalam Negeri #New Sin New #Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia #Wong Chin Huat
;