Tindakan segera terhadap sindiket ceroboh tanah kerajaan negeri - Zambry

Bernama
Mei 19, 2017 18:57 MYT
Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (tengah) merasmikan Sistem Penggera Banjir pada Program Pemukiman Menteri Besar Daerah Kuala Kangsar di Jeti Chenderoh Kampung Chegar Galah, Kuala Kangsar, semalam, 18 Mei, 2017. -- fotoBERNAMA
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta mengambil tindakan segera terhadap sindiket yang menceroboh serta meneroka secara haram tanah milik kerajaan negeri, kata Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Menteri Besar Perak itu berkata sindiket ini semakin berani dengan membuat iklan penjualan tanah menerusi laman sosial Facebook milik seorang wanita.
Katanya, individu terbabit menggunakan salinan geran dan surat kebenaran yang kononnya dikeluarkan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) untuk menipu orang ramai.
"PPPNP tidak pernah melantik mana-mana orang tengah, ejen atau pihak sebagai wakil dalam pengurusan tanah miliknya," katanya kepada pemberita sebelum majlis Jamuan Rakyat di Dewan Terbuka Kampung Chuar, Kati di sini hari ini.
Menurut Zambry, sindiket itu berani menceroboh tanah di kawasan sempadan dengan kejadian terbaharu berlaku di Mukim Ulu Bernam, Muallim membabitkan kawasan seluas 41.96 hektar.
Katanya, terdapat juga sindiket yang menawarkan penjualan tanah milik kerajaan negeri di Mukim Senggang, Kuala Kangsar seluas 121.406 hektar melalui aplikasi Whatsapp baru-baru ini.
Sehubungan itu, Zambry berkata PPPNP telah membuat tiga laporan polis di Balai Polis Slim River pada 12 Mei serta Balai Polis Kampung Rapat, Ipoh pada 15 dan 17 Mei lalu berhubung perkara itu dan mengingatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan pihak yang tidak bertanggungjawab.
-- BERNAMA
#ceroboh tanah #Facebook #Kuala Kangsar #laporan polis #peneroka haram #polis #sindiket #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia #tanah milik kerajaan #Zambry Abdul Kadir
;