Tindakan segera perlu diambil selesai masalah sampah di lokasi tumpuan pelancong

Bernama
Januari 5, 2023 19:27 MYT
Nga Kor Ming berkata beliau telah mengarahkan jabatan bertanggungjawab untuk memastikan tindakan segera diambil oleh syarikat konsesi Alam Flora supaya ada pelan tindakan pemantauan 24 jam di kawasan tumpuan pelancong. - Foto Facebook Nga Kor Ming
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mahu tindakan segera diambil berhubung urusan kebersihan dan kutipan sampah di destinasi pelancongan di ibu negara yang didapati kurang memuaskan.
Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata beliau telah mengarahkan jabatan bertanggungjawab untuk memastikan tindakan segera diambil oleh syarikat konsesi Alam Flora supaya ada pelan tindakan pemantauan 24 jam di kawasan tumpuan pelancong seperti Jalan Ampang-KLCC, Bukit Bintang Walk, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Medan Pasar dan Dataran Merdeka.
Beliau berkata ini susulan lawatannya ke sekitar ibu kota termasuk Petaling Street semalam yang mendapati urusan kebersihan dan kutipan sampah kurang memuaskan.
"Saya percaya syarikat Alam Flora akan mengambil tindakan segera untuk meningkatkan khidmat pengurusan sampah selepas lawatan saya semalam.
"SW Corp di bawah KPKT akan sentiasa menjalankan kerja-kerja pemantauan demi imej negara dan keselesaan rakyat," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Nga berkata kebersihan awam dan suasana yang kondusif amat penting untuk pembangunan industri pelancongan negara serta kesejahteraan rakyat.
Beliau juga berharap ibu bapa dapat memainkan peranan mendidik anak mereka agar tidak membuang sampah merata-rata sekali gus mencintai alam sekitar.
-- BERNAMA
#KPKT #masalah sampah #Destinasi pelancongan #Nga Kor Ming
;