Tindakan proaktif kerajaan tangani tuntutan Sulu tingkat kefahaman rakyat
Bernama
Mei 7, 2023 04:20 MYT
Mei 7, 2023 04:20 MYT
KOTA KINABALU: Inisiatif kerajaan menjelaskan kepada rakyat mengenai isu tuntutan kumpulan yang mendakwa waris Kesultanan Sulu terhadap kerajaan Malaysia dapat meningkatkan kefahaman mereka berhubung perkara itu.
Beberapa pemimpin negeri Sabah semasa ditemu bual Bernama turut mengalu-alukan tindakan proaktif dan agresif kerajaan pada masa ini dalam menangani isu tuntutan itu demi mempertahankan aset dan kedaulatan negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kunak Azlinah Ariff berkata isu tuntutan Kumpulan Sulu sepatutnya diselesaikan sejak dari awal lagi (semasa tuntutan dibawa ke mahkamah) dan secara tuntas.
"Sebelum ini ada perkara mengenai isu tuntutan Kumpulan Sulu ini seolah-olah disimpan sebagai rahsia. Oleh itu saya sangat mengalu-alukan apa dilakukan kerajaan dalam pastikan semua rakyat terlibat sama dalam mengetahui status semasa tuntutan kumpulan ini," katanya.
Beliau juga berkata langkah mewujudkan laman web malaysia-sulucase.gov.my yang memberikan maklumat terkini mengenai kes tuntutan itu kepada rakyat serta seluruh dunia akan meningkatkan pemahaman mereka berhubung isu ini.
Pada 12 April lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said melancarkan laman sesawang rasmi Malaysia iaitu malaysia-sulucase.gov.my. yang mengandungi fakta yang betul dan sahih, di samping menangkis tohmahan kumpulan berkenaan serta bagi membolehkan rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa mengikuti perkembangan kes tersebut secara telus dan benar.
Ia boleh diakses dalam lima bahasa secara berperingkat iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Perancis, Sepanyol dan Tagalog bagi membolehkan pelbagai pihak dan media antarabangsa mengikuti dan memahami kes ini melalui kebenaran yang dikemukakan oleh kerajaan.
Sementara itu Azlinah turut mencadangkan diadakan sesi jerayawara bagi menjelaskan isu itu kepada rakyat di peringkat akar umbi, di samping berharap isu itu dapat diselesaikan segera bagi mengelakkan ia diwariskan kepada generasi akan datang,
Bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia pula berpendapat penjelasan kepada rakyat juga akan menyemarakkan rasa kecintaan mereka kepada negara agar kedaulatan negara terus dipertahankan terutama oleh generasi akan datang.
Beliau berkata tuntutan kumpulan itu ke atas Sabah yang berlanjutan sejak sekian lama difahami rakyat akar umbi terutama di negeri ini, namun pemahaman isu tuntutan komersil melibatkan perundangan tidak begitu difahami rakyat.
"Sesi 'engagement' mengenai isu itu terutama melibatkan kerajaan, pakar dan rakyat perlu diteruskan bagi membolehkan sebarang persoalan yang diutarakan dijawab dengan jelas dan terperinci," katanya.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata sebagai seorang pemimpin yang berasal dari Sabah beliau turut berharap supaya isu tuntutan itu dapat diselesaikan pada masa ini agar ia tidak menjadi isu yang akan diwariskan kepada generasi akan datang di negeri ini.
Sementara itu bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yong Teck Lee berkata tuntutan ke atas Sabah dan tuntutan komersial perundangan oleh kumpulan Sulu itu adalah dua perkara berbeza, justeru usaha memberikan pemahaman isu itu perlu diperkasa supaya rakyat tidak keliru.
"Orang Sabah sedar tuntutan Sulu ini sudah berpuluh tahun... sekarang timbul kes arbitrasi," katanya dan menambah penyampaian kepada rakyat perlu dilakukan dengan cara mudah.
Kumpulan berkenaan sebelum ini dilaporkan membawa tindakan undang-undang ke Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah, yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.
Mereka membawa perkara itu kepada timbang tara Sepanyol pada 2019 dan pada 28 Feb 2022 penimbang tara Dr Gonzalo Stampa yang dilantik oleh kumpulan individu berkenaan dikatakan membuat keputusan memihak kepada pihak mereka (penuntut).
Stampa telah mengeluarkan final award sebanyak US$14.9 bilion (RM62.59 bilion) terhadap Malaysia dan keputusan itu digunakan untuk merampas aset Petronas di Luxembourg.
Malaysia telah menggunakan semua remedi undang-undang bagi membatalkan anugerah yang diberikan oleh Stampa kepada pihak yang menuntut di mahkamah di Sepanyol, Perancis, Luxembourg dan Belanda.
Pada 14 Mac lepas, Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan perintah penggantungan terhadap penguatkuasaan award itu yang diperoleh Kerajaan Malaysia di Perancis pada 12 Julai 2022.
Oleh itu, perintah penggantungan yang diperoleh Malaysia berhubung penguatkuasaan award berkenaan adalah kekal.
-- BERNAMA