Tindakan PN hina penjawat awam tindakan biadab - MB Selangor

Astro Awani
Jun 24, 2023 16:52 MYT
Pakatan Harapan juga menyifatkan manfaat rakyat Selangor juga hasil usaha penjawat awam Selangor, pimpinan masyarakat serta golongan profesional.- BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan di Selangor menyifatkan kumpulan penjawat awam sebagai tulang belakang pentadbiran serta sentiasa menitikberatkan kebajikan mereka.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari kesal dengan tindakan Perikatan Nasional yang menghina penjawat awam serta menganggap ia sebagai tindakan biadab.
Menerusi sebuah kenyataan di Facebook, beliau memaklumkan kerajaan Selangor menghargai jasa penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Selangor.
"Saya membidas tindakan Perikatan Nasional yang menghina para penjawat awam dan melabelkan mereka sebagai beban. Kerajaan Pakatan Harapan di Selangor sentiasa menitikberatkan kebajikan para penjawat awam kerana mereka adalah tulang belakang pentadbiran," katanya.
Tambah beliau, selain dari bantuan khas kewangan khusus buat penjawat awam ketika Aidilfitri dan akhir tahun, mereka turut dilindungi dengan insurans hayat percuma melalui Skim INSAN.
"Kerajaan Negeri turut menghargai jasa penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Selangor dengan pemberian Bantuan Khas Kita Selangor kepada para penjawat awam Persekutuan baru-baru ini. Pertama kali dalam sejarah Negeri Selangor.
"Ini termasuk pemberian Bantuan Khas Kita Selangor, bantuan khas kewangan ketika Aidilfitri dan akhir tahun, serta perlindungan insurans hayat percuma melalui Skim INSAN," katanya.
Sementara itu, Pakatan Harapan juga menyifatkan manfaat rakyat Selangor juga hasil usaha penjawat awam Selangor, pimpinan masyarakat serta golongan profesional.
#Amirudin Shari #Pakatan Harapan #Perikatan Nasional #penjawat awam
;