Tindakan perusuh hanya salah faham - Pemilik One City
Hilmi Malik
November 29, 2018 16:19 MYT
November 29, 2018 16:19 MYT
Pemilik hartanah Skypark, The Place dan The Square telah membuat beberapa laporan polis berhubung kerosakan yang dialami bangunan mereka dalam rusuhan yang berlaku di premis mereka pada Selasa lalu.
Wakil badan bersama tiga hartanah itu, Choong Li Loh berkata, laporan itu telah dibuat sejurus selepas kejadian itu berlaku.
"Kita dah minta bantuan polis dan kerajaan untuk selesaikan isu ini. Buat masa ini, kami belum mengenal pasti jumlah kerugian dan harta benda yang terjejas akibat rusuhan itu," katanya.
Chong berkata demikian dalam satu sidang media di Hotel E City di sini, hari ini.
Menurutnya, pihaknya turut menjelaskan One City @ USJ 25 adalah pembangunan yang dimiliki oleh 939 pemilik individu dan bukan milik syarikat pemaju MCT Berhad ataupun One City Development Sdn Bhd.
Menurut Li Loh, tindakan perusuh terhadap bangunan One City @ USJ 25 merupakan satu salah faham.
"Pihak kami amat berduka cita dengan apa yang berlaku dan kami hanya menjadi mangsa keadaan dan kami terpaksa menanggung sendiri kos kerugian itu," katanya.
Tambahnya, lagi jumlah keseluruhan kerugian itu mungkin diperoleh pada minggu depan.
"Mungkin dalam minggu depan kami dapat jumlah keseluruhan laporan polis yang dibuat termasuk jumlah kerugian", katanya lagi.
Dalam kejadian awal pagi Selasa, cermin dan pintu masuk bangunan One City @ USJ 25 pecah akibat rusuhan oleh kumpulan perusuh yang berarak dari Kuil Sri Maha Mariamman di USJ25, Subang.
#Chong Li Loh
#Hotel E City
#jenayah
#kuil sri maha mariamman
#mangsa
#MCT Berhad
#One City Development Sdn Bhd
#One City USJ 25
#perkauman
#perusuh