Tindakan persenda upacara agama lain tidak boleh diterima - Teo Nie Ching
Bernama
Mac 4, 2025 19:45 MYT
Mac 4, 2025 19:45 MYT
Teo berkata dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, semangat saling menghormati harus terus dipupuk dan sebarang perbuatan yang menyinggung perasaan agama lain tidak boleh diterima. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Tindakan tiga penyampai sebuah stesen radio milik Astro, yang didakwa mempersendakan upacara agama lain dalam sebuah video tular baru-baru ini, satu perbuatan tidak wajar dan tidak boleh diterima, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Beliau berkata dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, semangat saling menghormati harus terus dipupuk dan sebarang perbuatan yang menyinggung perasaan agama lain tidak boleh diterima.
"Saya memandang serius insiden melibatkan tindakan penyampai radio ini. Tindakan mempermainkan mana-mana amalan keagamaan adalah sangat tidak wajar," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Susulan insiden itu, Teo berkata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), untuk menjalankan siasatan terperinci dan memanggil pihak pengurusan stesen radio tersebut bagi memberikan penjelasan penuh.
"Tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada," katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa media massa seperti stesen radio memainkan peranan penting dalam memelihara keharmonian negara dan perlu lebih berhati-hati dalam penyediaan apa-apa jua kandungan.
Terdahulu, pengurusan stesen radio tersebut, Astro Audio dalam satu kenyataan memaklumkan sudah merehatkan ketiga-tiga penyampai radio berkenaan daripada ke udara sehingga diberitahu, sementara menunggu siasatan dalaman.
Astro Audio turut memaklumkan pihaknya memandang serius perkara tersebut dan melahirkan kekesalan atas insiden rakaman video melibatkan penyampai Nabil Ahmad, Azad Jasmin, dan Radin di platform media sosial ERA.
-- BERNAMA