Tindakan percepat BKM Fasa 4 tidak wajar - Bersih

Sinar Harian
November 11, 2022 06:45 MYT
Tindakan itu dilihat sebagai satu bentuk pengaruh tidak wajar dan melanggar konvensyen amalan kerajaan sementara yang diamalkan di negara-negara lain, dakwa Bersih. -Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyifatkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempercepatkan bayaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa 4 sebagai tidak wajar.
Menurut Jawatankuasa Pemandu Bersih, tindakan itu dilihat sebagai satu bentuk pengaruh tidak wajar dan melanggar konvensyen amalan kerajaan sementara yang diamalkan di negara-negara lain.
"Ini kerana pemberian bantuan yang dijadual pada Disember ini telah dipercepatkan kepada 15 November dan dijangka selesai pada 18 November iaitu sehari sebelum hari pengundian.
“Walaupun tidak dinafikan bahawa rakyat dijangka akan berhadapan dengan Monsun Timur Laut (MTL) dan memerlukan bantuan sekiranya terjadi hujan lebat dan banjir, pengumuman tersebut boleh dianggap sebagai menggunakan sumber kerajaan untuk berkempen bagi Perdana Menteri Sementara atau parti gabungan yang beliau wakili.
“Sekiranya wujud keperluan untuk mengumumkan peruntukan baharu atau mempercepatkan penyaluran peruntukan yang sedia ada, Perdana Menteri sebenarnya boleh berunding dengan pembangkang bagi berbincang dan menerangkan keperluan penyaluran peruntukan tersebut.
“Proses tersebut adalah lebih telus dan inklusif serta benar-benar mengutamakan kepentingan rakyat dan bukannya untuk kelebihan parti yang memerintah sebelum ini,” kata Bersih dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.
Ismail Sabri pada Khamis mengumumkan, BKM Fasa 4 akan dikreditkan ke akaun bank penerima secara berperingkat dengan jangkaan selesai pada 18 November.
BACA: Bayaran BKM Fasa 4 dipercepatkan kepada bulan ini - PM
BKM | BKM Fasa 4 dipercepatkan, bermula 15 November
Jelas beliau, menerusi bantuan yang berjumlah sehingga RM900 itu, ia bakal memberi manfaat kepada 8.7 juta penerima bagi 2022.
Sementara itu, Bersih menggesa agar pihak kerajaan tidak menyalahgunakan sumbernya untuk kepentingan sendiri kerana ia melanggar etika pilihan raya yang sepatutnya. -Sinar Harian
#BKM #Bersih #banjir #kerajaan sementara
;