Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 pastikan kesinambungan dasar terdahulu - PM
Raja Hisyam Raja Zaid
Disember 6, 2021 11:59 MYT
Disember 6, 2021 11:59 MYT
KUALA LUMPUR: Tindakan Pembangunan Bumiputera (TPB) 2030 akan menjadi mekanisme yang berperanan bagi memastikan kesinambungan kepada dasar dan inisiatif pemerkasaan bumiputera terdahulu, dengan penyesuaian semasa.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, TPB2030 menggariskan strategi jelas melalui program pembangunan dan inisiatif yang diselaraskan dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) serta didukung Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), yang terangkum dalam konteks Keluarga Malaysia.
Menurutnya, TPB2030 mengenal pasti enam Sasaran Utama untuk dicapai menjelang tahun 2030.
Ia bakal dicapai melalui tujuh Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA) yang terdiri daripada Pertanian dan Komoditi, Ekonomi Digital, Halal dan Makanan, Kewangan Islam 2.0, Pengangkutan dan Mobiliti Lestari, Pembuatan serta Pelancongan.
“Bumiputera perlu dibantu dengan cara baharu dan lebih berstruktur dan inklusif, dari Perlis ke Sarawak hingga ke Sabah, termasuk golongan bumiputera minoriti.
"Sepertimana yang saya sebutkan dahulu, tiada yang akan dibiarkan terpinggir," jelas Ismail Sabri ketika berucap melancarkan TPB2030 di sini hari ini.
Tambah beliau, dalam menjayakan agenda bumiputera, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan agensi pelaksana lain mesti memastikan tadbir urus yang tertinggi dipraktikkan dan kualiti piawaian diutamakan.
TPB2030 juga katanya, mesti bermatlamat untuk melonjakkan kedudukan kaum bumiputera melalui merit dan daya saing.
“Kita mesti mengambil iktibar dari segala program bumiputera yang diusahakan selama ini tetapi masih gagal mencapai sasaran-sasaran asal.
“Maka, dalam merencanakan TPB2030, pendekatan sesuai dengan abad ke 21 mesti diutamakan agar kita tidak sekali lagi hanya gah dalam ucapan dan pelan atas kertas, tetapi tidak dapat merealisasikan keberhasilan yang mampu benar-benar mengubah nasib golongan bumiputera di negara ini," tambahnya.
Malah, kata Ismail Sabri lagi, kejayaan bumiputera bukan hanya agenda bumiputera semata-mata, tetapi seharusnya membawa pulangan kepada negara secara keseluruhannya.
TPB2030 ini, jelasnya, juga akan berperanan melahirkan generasi baharu bumiputera yang berwibawa, berpaksikan nilai-nilai murni, mempunyai sahsiah jati diri yang berintegriti, tabah, berdikari serta kompetitif dari segi usaha dan pemikiran.