Tindakan pembangkang keluar dewan seperti tidak hormati Institusi Diraja - Ahmad Farhan

Bernama
Februari 28, 2024 00:05 MYT
Ahmad Farhan berkata protes yang dilakukan pembangkang terhadap isu berkenaan jelas menunjukkan mereka gagal mempraktikkan politik matang. - Gambar FB Ahmad Farhan
KUALA LUMPUR: Tindakan Ahli Parlimen pembangkang keluar dewan ketika Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam dilihat sebagai tidak menghormati Institusi Diraja.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Ahmad Farhan Fauzi berkata tindakan pembangkang itu juga seolah-olah ingin menyindir kebijaksanaan titah Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim agar Kerajaan MADANI terus dikekalkan sehingga Pilihan Raya Umum yang akan datang.
"Pada Istiadat Pembukaan Parlimen Kali Ke-15, Seri Paduka Baginda telah bertitah menasihati semua Ahli Dewan Rakyat daripada kerajaan mahupun pembangkang untuk berganding bahu membangunkan negara demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia.
Seri Paduka Baginda turut mengingatkan Ahli Dewan Rakyat untuk tunjukkan contoh teladan yang baik kepada rakyat ketika berada di Dewan Rakyat," katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Ahmad Farhan berkata protes yang dilakukan pembangkang terhadap isu berkenaan jelas menunjukkan mereka gagal mempraktikkan politik matang.
Justeru, beliau menggesa Ahli Parlimen pembangkang untuk menghentikan politiking sebaliknya mereka perlu memainkan peranan untuk bersama Kerajaan MADANI memacu ekonomi negara yang lebih pesat.
"Oleh itu, Ahli Parlimen pembangkang sepatutnya menyokong tindakan Perdana Menteri menyampaikan ucapan menjunjung kasih kepada Al-Sultan Abdullah yang telah meletakkan kemuliaan dan keutamaan kepada rakyat sepanjang pemerintahannya.
Inisiatif oleh Perdana Menteri ini turut mewakili suara rakyat dan sepatutnya semua Ahli Dewan Rakyat senada dalam mengucapkan penghargaan dan penghormatan kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16 buat kali terakhir," katanya.
Semalam, Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata tindakan keluar dewan itu adalah protes bahawa kerajaan sepatutnya tidak melakukan sesuatu di luar peraturan mesyuarat kerana dilihat sebagai salah guna kuasa.
Menyentuh mengenai perkara itu, Ahmad Farhan berkata secara teknikalnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said telah mengemukakan permohonan kebenaran di bawah Peraturan 14(2) kepada Dewan Rakyat untuk membenarkan Perdana Menteri memberi ucapan pujian dan penghargaan kepada Al-Sultan Abdullah.
Menurutnya, isu itu tidak patut diperbesarkan kerana Peraturan Mesyuarat 14(2) telah membenarkan pihak kerajaan mengemukakan usul untuk sesuatu perkara tanpa perlu dibahas dan diberi notis, selain daripada mendapat persetujuan majoriti ahli dewan.
-- BERNAMA
#ucapan pujian #institusi diraja #diberi notis #salah guna kuasa
;