Tindakan pantas pekerja pada kebakaran, elak stesen minyak terbakar
Afiezul Samit
Julai 27, 2021 15:47 MYT
Julai 27, 2021 15:47 MYT
SIBU: Tindakan pantas pekerja stesen minyak Shell berjaya memadam kebakaran sebuah lori tangki minyak di sebuah stesen minyak di Jalan Brother Albinus di Sibu, pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.33 pagi itu tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Henderi Ardimanshah sepasukan anggota bomba dari Balai bomba dan penyelamat (BBP) Sibu bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan daripada oramg awam.
"Kejadian itu berlaku apabila sebuah lori tangki minyak sedang melakukan pengisian ke dalam tangki minyak bawah tanah stesen minyak itu.
"Ketika proses sedang dilakukan, sebuah van memasuki stesen itu, lantas menyebabkan percikan api sehingga berlakunya satu letupan dan asap tebal," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Selain itu, Henderi berkata, kebakaran tidak melibatkan struktur dan pam minyak selain operasi terkawal sepenuhnya pada pukul 10.45 pagi.
Katanya, beberapa pekerja stesen minyak berkenaan bertindak berani dan pantas memadamkan api menggunakan 11 unit alat pemadam api jenis debu kering sebelum tibanya pasukan bomba.
Hanya seorang pekerja stesen minyak didapati mengalami luka dan cedera ringan dalam proses pemadaman itu telah dihantar ke Hospital Sibu untuk menerima rawatan.