Tindakan pantas bomba kawal kebakaran selamatkan 340 rumah

Bernama
Jun 7, 2024 11:40 MYT
Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 7.17 malam sebelum operasi ditamatkan pada 11.17 malam. - Foto BERNAMA
SANDAKAN: Tindakan pantas dan kecekapan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sandakan mengawal kebakaran, berjaya menyelamatkan 340 rumah kayu di Kampung Cenderamata Limbungan, Jalan Batu Sapi di sini malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan Severinus Sainkui bagaimanapun berkata dalam kejadian itu, 13 rumah atas air musnah terbakar dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
"Sepasukan BBP Sandakan bergegas ke lokasi kejadian kira-kira 13 kilometer dari balai selepas menerima panggilan kebakaran pada 6.05 petang, ketua operasi melaporkan kawasan yang terbakar melibatkan keluasan satu ekar," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata kebakaran berjaya dikawal pada pukul 7.17 malam sebelum operasi ditamatkan pada 11.17 malam dan punca kejadian serta kerugian masih dalam siasatan.
Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan berasingan memaklumkan 111 orang daripada 20 keluarga dipindahkan akibat kejadian tersebut.
"Mereka dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara Dewan Projek Perumahan Rakyat Batu Sapi yang dibuka 8.30 malam tadi. Mereka yang dipindahkan terdiri 60 orang dewasa dan 51 orang kanak-kanak," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#kebakaran #rumah kayu #bomba #rumah atas air
;