Tindakan menubuhkan 1MDB tidak betul dan tidak perlu - Tun Daim
Astro Awani
April 10, 2015 17:41 MYT
April 10, 2015 17:41 MYT
Bekas penasihat kewangan negara, Tun Daim Zainuddin berkata tindakan kerajaan menubuhkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah tidak betul dan tidak perlu.
Menurutnya, sebagai kerajaan mereka tidak perlu terlibat dalam perniagaan dan sebaliknya fokus kepada pemerintahan sahaja.
"Tidak betul, tidak perlu pun. Prinsip kerajaan tidak perlu buat bisnes. Kerajaan perlu wujud persekitaran bisnes untuk peluang pekerjaan dan kutipan cukai.
"Hendak terbabit bisnes pasal apa? Kerajaan sepatutnya memerintah sahaja," katanya dalam satu temubual ekslusif di Malaysia Gazette.
Menurut beliau, penglibatan kerajaan dalam perniagaan hanya akan mencetuskan masalah kerana katanya kerajaan tidak pandai berniaga.
Malah, katanya keadaan menjadi lebih teruk apabila Perdana Menteri sendiri yang menjadi penasihat dan juga pengerusi dalam syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC).
"Sepatutnya GLC yang menjalankan perniagaan patut independent (bebas), apabila Perdana Menteri terlibat susah," tegas Daim.
Mengulas mengenai siasatan terhadap 1MDB, katanya siasatan itu perlu dipercepatkan bagi tujuan mengembalikan kepercayaan rakyat.
"Kalau saya kerajaan, saya akan mempercepatkan siasatan, mengembalikan kepercayaan rakyat. Siasatan ini tidak boleh drag on (berlarutan), kalau lama sangat, menghampiri pilihan raya lagi teruk. Rakyat tidak lupa. Kalau kesilapan kecil tidak mengapa.
Ujar beliau, kerajaan juga harus membuat keputusan sama ada kendak tutup atau meneruskan 1MDB, namun kata Daim adalah lebih mudah jika syarikat itu ditutup kerana ia akan mengurangkan kos.
Katanya, beliau tidak faham tujuan 1MDB diwujudkan, tidak seperti Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) yang ditubuhkan untuk melihat strategi bisnes agar tidak berlawan dengan sektor swasta.
Selain itu, katanya rakyat juga ingin tahu ke mana perginya wang syarikat tersebut kerana ia melibatkan sejumlah dana yang besar.
"Rakyat mahu tahu mana pergi duit 1MDB. 1MDB tidak boleh beritahu, kerajaan tidak boleh beritahu. Ini bukan duit sedikit RM10, RM20, ini melibatkan RM42 bilion. Kita mahu dengar apa sebenar yang berlaku.
"Rakyat mempertikaikan sejauh mana ketelusan Jabatan Audit Negara dalam siasatan itu, sedangkan jabatan itu juga melaporkan kepada Kementerian Kewangan dan Perdana Menteri juga Menteri Kewangan. Wujud konflik kepercayaan terhadap keputusan siasatan itu?" soalnya.
Dalam pada itu, Daim turut mengulangi pandangannya yang mengatakan Perdana Menteri tidak harus menjadi Menteri Kewangan kerana ia akan mewujudkan konflik.
"Kalau Menteri Kewangan bukan kesilapan, dia juga Perdana Menteri, hendak marah tidak boleh, hendak buang tidak boleh. Kalau Menteri Kewangan orang lain, kita boleh ambil tindakan," tambahnya.