Tindakan Malaysia beri sokongan pada pelarian dipuji Obama

Bernama
November 21, 2015 20:41 MYT
Pada Mei lepas, Malaysia dan Indonesia bersetuju memberikan perlindungan sementara kepada 7,000 pendatang Myanmar dan Bangladesh yang terkandas di tengah lautan. - Gambar fail
Presiden Barack Obama memuji tindakan Malaysia kerana membuka pintu serta memberi sokongan kepada pelarian dan pencari suaka daripada pelbagai tempat bergolak di dunia.
Presiden Amerika Syarikat itu, yang kini berada di ibu negara untuk menghadiri mesyuarat berkaitan ASEAN, berkata Malaysia kini menjadi tempat perlindungan sementara bagi kira-kira 150,000 pelarian dan pencari suaka.
"Saya ingin menghargai usaha-usaha kerajaan Malaysia dalam mengalu-alu dan memberi sokongan kepada pelarian dari seluruh dunia," katanya semasa perbincangan dengan sekumpulan pelarian dewasa yang menamatkan proses untukmenetap di Amerika Syarikat.
Pertemuan itu dianjurkan sempena lawatan pemimpin Amerika Syarikat itu ke Yayasan Dignity For Children di Sentul di sini hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika berucap pada sesi ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York pada 2 Oktober lepas, mengumumkan Malaysia akan membuka pintu kepada 3,000 pelarian Syria dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi membantu meringankan krisis pelarian.
Buka pintu
Pada Mei lepas, Malaysia dan Indonesia bersetuju memberikan perlindungan sementara kepada 7,000 pendatang Myanmar dan Bangladesh yang terkandas di tengah lautan dan proses penghantaran dan penempatan semula akan dilakukan dalam tempoh setahun oleh komuniti antarabangsa.
Semasa lawatan ke yayasan itu, sebuah institusi pendidikan amal untuk pelarian dan kanak-kanak miskin bandar, Obama berinteraksi dengan beberapa pelarian kanak-kanak, kebanyakannya dari Myanmar.
Pada sesi bersama individu dari Sudan, Somalia dan Myanmar yang bakal ke Amerika Syarikat, Obama meminta komuniti global supaya terus buka pintu kepada pelarian dan menawarkan tempat perlindungan yang selamat untuk jutaan pelarian dari seluruh dunia.
Dalam menyeru komuniti menunjukkan lebih belas kasihan sebagai respons kepada krisis pelarian global, katanya kira-kira 60 juta pelarian dipaksa meninggalkan kampung halaman mereka di seluruh dunia.
Berdepan dengan diskriminasi dan penderitaan, mereka berhak mendapat sokongan dan perlindungan daripada masyarakat dunia," katanya.
Obama berkata: "Berita gembira ialah lebih banyak negara memperakui bahawa mereka perlu lebih berusaha bagi memastikan pelarian dan orang yang tidak bertempat dilindungi."
Mangsa keganasan
Mengenai lawatan ke yayasan itu, katanya, ia adalah satu keistimewaan dan mengucapkan terima kasih kepada mereka yang menguruskan kemudahan itu dengan sokongan penderma dan PBB.
"Salah satu sebab saya mahu datang dan melawat tempat ini adalah kerana di peringkat global, kita melihat jumlah bilangan pelarian yang belum pernah berlaku sebelum ini. Hari ini saya mendapat peluang untuk berjumpa dengan beberapa anak muda yang hebat di mana kanak-kanak ini telah melalui kesusahan yang luar biasa," katanya.
Presiden itu berikrar bahawa "selagi saya sebagai presiden, Amerika Syarikat akan kekal sebagai tempat untuk mengalu-alukan jutaan penduduk yang melarikan diri daripada ancaman keganasan di seluruh dunia."
Anak-anak muda ditemui hari ini datang daripada latar belakang yang bertentangan dengan keganasan seperti dilihat di Mali dan Paris, sambil merujuk kepada serangan maut di sebuah hotel di Bamako, ibu negara Mali, semalam dan serangan terhadap beberapa sasaran di Paris yang mengorbangkan 129 orang pada 13 November lepas.
Obama tiba di ibu negara semalam untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat ketiga serta Sidang Kemuncak Asia Timur ke-10 sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 yang dirasmikan hari ini.
#Barack Obama #pelarian #Pencari Suaka #sokongan
;