Tindakan mahkamah demi pertahan kedaulatan undang-undang, Perlembagaan Persekutuan - PH

Fareez Azman
Januari 28, 2021 13:34 MYT
Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) hari ini menjelaskan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur demi mempertahankan Kedaulatan Undang-Undang dan Perlembagaan Persekutuan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) hari ini menjelaskan bahawa permohonan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur adalah demi mempertahankan kedaulatan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan terhadap keputusan kerajaan menggantung Parlimen.
Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan bersama Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution, Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Dr Hatta Ramli dan Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Loke Siew Fook pada Khamis.
Jelas kenyataan itu, tiga Ahli Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Haji Salahuddin bin Ayub (ADUN Simpang Jeram, Johor), Datuk Johari Bin Abdul (ADUN Gurun, Kedah), dan Abdul Aziz Bin Bari (ADUN Tebing Tinggi, Perak) Pakatan Harapan telah membuat satu permohonan kebenaran berhubung tujuan terbabit di mahkamah pada 27 Januari lalu.
"Permohonan ini telah difailkan untuk membuat semakan terhadap kaedah-kaedah di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang berkenaan penggantungan sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.
"Tindakan Mahkamah ini bukan bertujuan untuk mencabar Proklamasi Darurat yang telah diisytihar 11 Januari 2021 yang lalu.
"Permohonan itu juga bagi menentukan bahawa kaedah-kaedah di bawah Ordinan Darurat tersebut yang membenarkan penggantungan sidang Parlimen dan DUN adalah tidak sah di sisi undang-undang dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan," kata kenyataan itu.
Kata kenyataan itu lagi, keputusan kerajaan mengantung Parlimen adalah tidak sah dan melanggari Perlembagaan Persekutuan.
"Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) bersama Kabinet telah bertindak secara tidak sah dan melanggari Perlembagaan Persekutuan apabila menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menggantungkan sidang Parlimen dan DUN.
"Kerajaan Persekutan, Kerajaan-Kerajaan Negeri, dan wakil rakyat di seluruh negara memerlukan persidangan-persidangan pada waktu kritikal ini, untuk mengumpulkan suara rakyat yang diwakili, membincangkan dan meluluskan undang-undang, dasar atau langkah bagi menangani penularan wabak COVID-19 serta urusan lain yang membabitkan pentadbiran kerajaan dan kehidupan rakyat," jelas kenyataan itu.
Pakatan Harapan mengambil tindakan mahkamah atas komitmen dalam menegakkan kedaulatan undang-undang dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.
#Muhyiddin Yassin #PKR #DAP #Pakatan Harapan #Parti Keadilan Rakyat #Parti Amanah Negara #Yang di-Pertuan Agong #Kuala Lumpur #ADUN #Perdana Menteri #Parlimen #mahkamah #undang-undang #COVID-19 #kabinet #rakyat
;