Tindakan lelaki tinggalkan anak jiran dalam kereta tidak dimatikan enjin undang padah

Bernama
September 20, 2019 06:30 MYT
Ismail berkata, pihak polis yang menerima laporan telah menggerakkan operasi untuk mengesan kenderaan serta kanak-kanak terbabit.
Tindakan seorang lelaki yang meninggalkan anak jirannya dalam sebuah kereta dengan keadaan enjin tidak dimatikan mengundang padah apabila kenderaan itu dilarikan oleh individu tidak dikenali dalam kejadian di Taman Kota Masai, di sini, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Ismail Dollah berkata kejadian pada 2.57 petang itu berlaku ketika lelaki berkenaan berusia 35 tahun singgah di sebuah kedai, selepas solat Jumaat, sebelum pulang ke rumahnya.
"Pengadu meletakkan kereta di hadapan kedai dengan keadaan enjin masih hidup. Dia kemudian turun bersama dua anak lelakinya berumur empat dan enam tahun, sementara anak lelaki jirannya yang berusia tujuh tahun menunggu di dalam kenderaan.
"Ketika itulah kenderaan berkenaan dilarikan oleh individu tidak dikenali," katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.
Ismail berkata pihak polis yang menerima laporan selepas itu telah menggerakkan operasi untuk mengesan kenderaan serta kanak-kanak terbabit.
"Hasil kerjasama dan maklumat orang awam, kanak-kanak itu akhirnya ditemui setelah dipercayai ditinggalkan suspek di Jalan Sentosa 4, Taman Nusa Damai iaitu lebih kurang 2.4 kilometer daripada lokasi kejadian.
"Kenderaan yang dilarikan suspek juga dijumpai berhampiran kawasan kanak-kanak itu ditemui," tambahnya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan polis menasihatkan masyarakat agar bersikap lebih peka dalam memastikan keselamatan diri, keluarga dan harta terjaga daripada sebarang ancaman jenayah.
-- BERNAMA
#anak jiran #enjin tidak dimatikan #Ismail Dollah #jenayah #Kanak-kanak #Kanun Keseksaan #kereta #kereta dilarikan #keselamatan #polis #suspek #Taman Kota Masai #Taman Nusa Damai #tinggal anak dalam kereta
;