Tindakan kunci tayar di ibu negara sudah bermula - DBKL
Sinar Harian
Oktober 9, 2023 19:43 MYT
Oktober 9, 2023 19:43 MYT
KUALA LUMPUR: Sikap warga kota tidak menghiraukan notis kompaun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu diubah bagi mengelak tayar kenderaan mereka dikunci Pasukan Apit Roda DBKL.
DBKL dalam satu kenyataan turut memaklumkan bermula Oktober ini, tindakan kunci roda kenderaan akan dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan di sekitar ibu negara.
Menurut DBKL lagi, tindakan kunci roda kenderaan itu akan dilaksanakan ke atas kenderaan yang menyebabkan halangan, bahaya atau kesulitan kepada pengguna jalan yang lain.
"Kenderaan yang didapati melakukan kesalahan ini akan dikenakan tindakan kapit (kunci) roda dan kenderaan boleh dialihkan oleh pihak DBKL.
"Tindakan dibuat menerusi Seksyen 48, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dilaksanakan di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL)," kata PBT itu dalam satu kenyataan di Facebooknya.
Sehubungan itu, pihak DBKL mengingatkan pengguna jalan raya khususnya di sekitar ibu negara untuk sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan. - Sinar Harian