Tindakan Ku Li tidak senada pendirian UMNO - Penganalisis
Fareez Azman
Disember 16, 2020 16:35 MYT
Disember 16, 2020 16:35 MYT
KUALA LUMPUR: Tindakan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoal kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin serta kerajaan Perikatan Nasional (PN) memperlihatkan situasi yang sukar buat UMNO.
Menurut penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian, tindakan Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO itu juga dilihat tidak senada dengan kepimpinan UMNO yang masih kekal menyokong PN.
Katanya, sebagai penasihat UMNO, tindakan Tengku Razaleigh yang juga dikenali sebagai Ku Li itu sukar diterima sekali gus memberikan isyarat yang mengelirukan kepada parti berkenaan sekalipun keputusan yang dibuatnya itu berdasarkan pendirian peribadi.
"(Tindakan Ku Li) bermakna telah wujud satu garis pemisah, apakah beliau yakin boleh melakukan tindakan berdasarkan kedudukan sebagai seorang Ahli Parlimen atau mengenepikan pendirian yang dibuat secara menyeluruh atau konsensus, bahawa Ketua Whip mencadangkan sesuatu keputusan.
"Dalam konteks ini, saya percaya UMNO sendiri pun berada dalam keadaan sukar untuk membuat keputusan, malahan bukan mudah nak ambil tindakan terhadap seorang pemimpin yang berpengaruh yang ada kewibawaan.
"Apatah lagi mengetuai Jemaah Penasihat, selagi tidak ada aduan (selagi itulah) UMNO melihat ini bukan satu isu boleh dibenarkan kerana boleh memperngaruhi sokongan di peringkat akar umbi," katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI pada Rabu.
Malah, jelas Siva, tindakan Tengku Razaleigh tidak hadir ketika Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 diluluskan di Dewan Rakyat pada Selasa juga memberi isyarat yang dilihat tidak mempengaruhi kedua-dua pihak.
Dalam pada itu, mengulas mengenai pendirian UMNO ketika kemelut politik berlaku, kata Siva, keputusan hakiki perlu dibuat oleh kepimpinan parti itu untuk mengelak kekeliruan di peringkat akar umbi.
"Dalam konteks parti, Presiden parti sendiri (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) pernah menyatakan sokonglah sesiapa sekalipun (pada September lalu), barangkali memberikan satu isyarat yang berbeza kepada ahli dan kepimpinan parti... kepimpinan parti juga harus membuat satu keputusan yang hakiki dalam menzahirkan sesuatu kenyataan.
"Apakah itu bersifat peribadi atau pendirian parti, jika sekiranya datang daripada seorang pemimpin yang berpengaruh?" soal Siva lagi.
Isnin lalu, Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah yang pernah menjadi seteru politik, mengadakan sidang media bersama menolak Bacaan Kali Ketiga Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat.
Menurut kedua-dua negarawan itu, penolakan Rang Undang-Undang Perbekalan itu boleh diterjemahkan sebagai penolakan kepada kerajaan PN pimpinan Muhyiddin yang disifatkan lemah dan tidak mementingkan rakyat.
#Muhyiddin Yassin
#Mahathir Mohamad
#Tengku Razaleigh Hamzah
#UMNO
#Dewan Rakyat
#Media
#Belanjawan 2021
#Ahli Parlimen Gua Musang
#politik
#kerajaan
#Parlimen