Tindakan kompaun Serba Dinamik, 4 pengurusan tertinggi sesuai, wajar - Peguam Negara
Umavathi Ramayah
Mei 13, 2022 18:16 MYT
Mei 13, 2022 18:16 MYT
KUALA LUMPUR: Keputusan untuk mengenakan kompaun RM16 juta ke atas syarikat penyedia perkhidmatan kejuruteraan minyak dan gas bersepadu, Serba Dinamik Holdings Berhad (SDHB) dan empat pengurusan tertingginya terhadap pertuduhan mengemukakan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad disifatkan sebagai satu keputusan yang sesuai dan wajar, kata Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.
Beliau menegaskan, keputusan mengkompaun kesalahan SDHB adalah merupakan satu bentuk hukuman yang memadai untuk kesalahan yang dikatakan telah berlaku setelah mengambil kira hal keadaan kes terbabit.
Beliau juga mengesahkan kompaun yang dikenakan telah dijelaskan sepenuhnya pada 9 Mei lalu.
"Tindakan ini akan membolehkan SDHB memberi fokus bagi memperbetulkan kesilapan dan melaksanakan tindakan segera untuk mematuhi peraturan-peraturan Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang sebelum ini, SDHB pernah dan jelas patuhi tanpa kesilapan.
"Pejabat Peguam Negara (AGC) menyedari tahap pembuktian yang perlu dilepasi oleh pihak pendakwaan untuk membuktikan pertuduhan berdasarkan keterangan yang sedia ada," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Sehubungan itu, Idrus berkata, pada 7 April lalu, AGC memberikan izin untuk mengkompaun kesalahan-kesalahan tersebut kepada SC mengikut Seksyen 373 Akta 671.
Jadi katanya, pada 13 April lalu, SDHB dan empat orang eksekutifnya, masing-masing, telah dikeluarkan notis kompaun terbabit.
Beliau memberitahu, AGC mengambil kira keterangan yang menyokong pertuduhan-pertuduhan dan untuk mengelakkan satu perbicaraan yang lama dan berlarutan.
"Jadi kami (AGC) berpandangan bahawa kepentingan awam adalah lebih terjamin dengan mengkompaun kesalahan-kesalahan yang dikatakan dilakukan oleh SDHB dan empat orang eksekutifnya.
"Dengan mengkompaun kesalahan-kesalahan tersebut, tindakan punitif terhadap SDHB dapat dicapai dengan serta-merta tanpa melalui proses perbicaraan yang lama. Selepas itu, SDHB boleh mengalihkan sumber dan masa yang ada untuk menyelaraskan tindakan dengan pihak berkuasa yang berkenaan untuk mematuhi keperluan undang-undang," jelasnya.
Pada masa yang sama, Idrus memaklumkan, AGC juga mendapati bahawa prosiding jenayah terhadap SDHB tidak sesuai atau wajar diteruskan kerana kesan ekonomi yang akan berlaku.
Menurutnya, impak pertuduhan terhadap SDHB adalah tidak seimbang dengan tahap kesalahan yang teruk yang dikatakan dilakukan oleh SDHB.
"Pada tarikh kenyataan media ini, SDHB sedang berhadapan dengan prosiding penggulungan oleh pemiutang yang akan menjejaskan mata pencarian pekerja-pekerja SDHB, kepentingan pemegang saham dan pemiutang lain," tambahnya lagi.
Dalam kenyataan itu, Idrus juga mengesahkan bahawa AGC menerima satu surat representasi bertarikh 17 Mac 2022 daripada SDHB yang memohon, antara lain, agar AGC mempertimbangkan semula pertuduhan terhadap SDHB dan empat orang eksekutifnya, pada 21 Mac lalu.
"Dalam surat itu, SDHB mengemukakan cadangan agar kesalahan oleh SDHB dan eksekutif-eksekutifnya dikompaun dan ia telah dipanjangkan kepada SC untuk perhatian segera," ujarnya.
Menurutnya, selepas itu, AGC mengadakan perbincangan dengan pegawai penyiasat SC berkenaan surat representasi SDHB dan representasi tersebut turut dibincangkan dengan Pengerusi SC oleh beliau sendiri.
Beliau memberitahu, atas permintaan daripada AGC, pihak SC telah mengemukakan kertas siasatan kepada pejabatnya.
"Setelah diteliti kertas siasatan tersebut dan surat representasi SDHB tersebut, AGC bersetuju dengan cadangan untuk mengkompaun kesalahan yang dikatakan dilakukan oleh SDHB dan empat orang eksekutifnya, memandangkan, antara lain, keterangan sedia ada terhadap SDHB adalah bersifat mengikut keadaan dan kebergantungan kepada Seksyen 367(1) Akta 671.
"Tambahan pula, SDHB dan empat orang eksekutifnya tersebut bersedia untuk menerima jumlah kompaun maksimum yang boleh dikenakan oleh SC," katanya.
Terdahulu, Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat melepas dan membebaskan SDHB dan empat pengurusan teertingginya atas pertuduhan mengemukakan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad.