Tindakan Khairy tidak ambil vaksin Pfizer 'is a good move', patut dipuji - Pakar
Rahimah Abdullah
Februari 27, 2021 11:26 MYT
Februari 27, 2021 11:26 MYT
KUALA LUMPUR: Pengumuman Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin untuk tidak mengambil vaksin Pfizer namun memilih untuk menunggu vaksin yang seterusnya yang diluluskan disifatkan sebagai langkah strategik kerajaan.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, ia sekali gus mampu meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap program imunisasi negara.
"Pengumuman Khairy tadi adalah langkah strategik kerajaan untuk mengajak rakyat bersama-sama sebab kita ada lebih dua portfolio vaksin yang berlainan vektor atau teknologi.
"Justeru itu, ia adalah untuk tingkat kepercayaan (rakyat) dan ia langkah yang baik dan risiko itu diagihkan mengikut portfolio. Ia patut dipuji dan it's a good move," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI hari ini.
Dalam pada itu, katanya, dengan ketibaan vaksin Sinovac buatan negara China ini, ia menjadi penanda aras kepada Program Imunisasi Negara.
"Pertama kerana vaksin ini belum mendapat kelulusan NPRA, cuma kelulusan awal untuk diimport dan dipakejkan di Malaysia.
"Ini suatu inisiatif yang bagus di mana kerajaan di China dan Pharmaniaga di mana menggunakan fasilitinya untuk pembungkusan, dan ini lebih memudahkan lagi dan lebih cepat. Ini akan memberi satu kelebihan kepada kita di Malaysia," tambahnya.
Setakat ini katanya, tahap keberkesanan Sinovac amat memuaskan dan aspek keselamatannya sangat baik.
"Jadi kita rasa tidak mendapat banyak masalah untuk mendapat kelulusan rasmi NPRA di Malaysia untuk kegunaan rakyat kita.
"Ini adalah kebaikan dan memudahkan kita untuk mencapai imunisasi tertinggi dan sebanyak mungkin untuk negara," ujarnya lagi.
#Khairy Jamaluddin
#vaksin
#rakyat
#Malaysia
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
#Pfizer
#Sinovac
#COVID-19
#rakyat Malaysia
#Berita Terkini
#Berita Astro AWANI
#berita Malaysia