Tindakan kerajaan melarang pakai baju 'Bersih 4' melucukan - Maria Chin
T K Letchumy Tamboo
Ogos 28, 2015 23:16 MYT
Ogos 28, 2015 23:16 MYT
Tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk melarang pemakaian baju 'Bersih 4' adalah melucukan dan menunjukkan bahawa kerajaan terdesak dengan ketidakupayaannya untuk menangani pandangan yang pelbagai.
Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata KDN seolah-olah tidak sedar bahawa rakyat Malaysia telah memecahkan halangan dan dapat berhadapan dengan 'budaya takut' yang direka oleh pihak berkuasa.
"Tuntutan Bersih 4 yang dicetak pada baju-baju tersebut adalah seruan rakyat untuk pembaharuan demokratik.
"Kita tidak boleh mempunyai sistem politik yang gagal, yang membiakkan rasuah dan ekonomi yang bermasalah. Ini adalah masa untuk setiap rakyat Malaysia untuk membuat pendirian dan menuntut rasional.
"Baju 'Bersih 4' adalah simbol perjuangan kami untuk membawa rasa keadilan dan kestabilan kepada negara tercinta kita," katanya di dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau juga berkata para peguam akan bersiap sedia untuk menangani sebarang keadaan undang-undang yang mungkin timbul semasa perhimpunan itu.
Sebelum ini, KDN mengeluarkan suatu perintah kerajaan untuk melarang pakaian kuning serta pakaian yang tertulis perkataan 'Bersih 4', sempena himpunan Bersih 4.0 esok.
Perintah yang bertarikh 27 Ogos itu, turut menyatakan bahawa apa-apa bahan bercetak lain dan risalah yang mendorong perhimpunan itu juga dilarang.
Perintah dibawah Akta Mesin Cetak Dan Penerbitan 1984 itu, iaitu Akta Mesin Cetak Dan Penerbitan (Hasil penerbitan yang tidak diingini) (No 22) Perintah 2015 menyatakan: "Percetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan yang diperihalkan dalam Jadual yang mungkin memudaratkan keselamatan, yang mungkin berlawanan dengan mana-mana undang-undang dan yang mungkin memudaratkan kepentingan negara adalah dilarang secara mutlak di seluruh Malaysia."
Perintah itu ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Perintah yang dibuat di bawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 itu berkuat kuasa mulai hari ini.