Tindakan JAIPP tidak sensitif, saya mohon maaf - Exco Agama

Astro Awani
Jun 11, 2014 16:35 MYT
ABDUL MALIK: Barisan exco dan kerajaan negeri menghormati keputusan keluarga untuk merujuk isu berkenaan ke mahkamah
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Dato’ Abdul Malik Kassim hari ini memohon maaf bagi pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) di atas tindakan pegawainya yang menghentikan satu majlis pengkebumian Buddha pada 9 Jun kerana mendakwa si mati telah memeluk Islam.
Abdul Malik turut merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga si mati iaitu, Teoh Cheng Cheng atau nama Islamnya (Nora Teoh) yang meninggal dunia pada 7 Jun.
Menurut beliau, tindakan pegawai JAIPP menuntut mayat Teoh tidak mendapat pandangan daripada Pengarah JAIPP, Bahagian Penguatkuasa JAIPP, Jabatan Mufti dan Pegawai Agama Daerah terlebih dahulu sebelum tindakan lanjut diambil, yang mana ianya selalu dipraktikkan oleh JAIPP ketika menangani kes-kes seumpama itu sebelum ini.
“Tindakan pegawai JHEAIPP dianggap kurang sensitif tentang adat resam, agama dan perasaan ibu si mati Tan Mah Suan yang berusia 64 tahun dan keluarganya ketika mereka sedang menghadapi saat mendukacitakan.
Selaku Exco Hal Ehwal Agama, saya juga kesal kerana hanya mengetahui insiden ini melalui wartawan yang menghubungi saya pada 9 Jun pukul 5 petang,” katanya di dalam satu kenyataan media.
Kata Abdul Malik, ketika dimaklumkan perkara berkenaan, beliau bersama Ahli Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) berada di Kuala Lumpur dan sedang menghadiri mesyuarat di JAKIM.
“Apa yang lebih dikesalkan, pegawai-pegawai JAIPP berkaitan yang saya hubungi mengatakan mereka tidak mengetahui akan perkara berkenaan” jelas Abdul Malik.
Namun begitu, Abdul Malik serta barisan exco dan kerajaan negeri menghormati keputusan keluarga untuk merujuk isu berkenaan ke mahkamah dalam memutuskan status keislaman si mati.
Si mati yang dikenali sebagai Teoh Cheng Cheng, 38, didakwa memeluk agama Islam lebih kurang 17 tahun lalu. Nama Islamnya didaftarkan sebagai Nora Teoh Abdullah.
Tindakan pegawai JAIPP yang datang ketika upacara keagamaan sebelum pengkebumian sedang berlangsung itu memeranjatkan ahli keluarga dan sanak-saudara si mati. Mereka tidak mengetahui si mati sudah memeluk Islam.
Menurut laporan The Malaysian Insider, ibu si mati, Tan Ma Suan mempersoalkan kalau betul anaknya memeluk Islam, kenapa JAIPP mengambil masa yang agak lama untuk bertindak. Teoh dilaporkan meninggal dunia selepas jatuh dari sebuah apartmen pada Sabtu.
#Dato Abdul Malik Kassim #JAIPP #mualaf #Nora Teoh Abdullah #Teoh Cheng Cheng
;