Tindakan Israel merupakan imperialisme Zionis - Pemuda PN
Astro Awani
Mei 17, 2021 14:45 MYT
Mei 17, 2021 14:45 MYT
KUALA LUMPUR: Pemuda Perikatan Nasional (PN) mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera Israel ke atas rakyat Palestin di Masjid Al-Aqsa ketika umat Islam sedang menunaikan ibadah di hari-hari terakhir Ramadan.
Dalam satu kenyataan, Pemuda PN menyifatkan tindakan radikal tentera Israel ini merupakan imperialisme Zionis sekaligus merupakan pencerobohan terang-terangan terhadap kedaulatan Palestin.
Pemuda PN menyifatkan tindakan pemerintahan Zionis melalui ketumbukan ketenteraan yang membedil warga Palestin yang tidak berdosa merupakan sesuatu yang tidak berperikemanusiaan.
Menerusi kenyataan itu juga, Pemuda PN menyatakan pendirian mereka untuk bersolidariti dengan teguh bersama rakyat dan negara Palestin yang dirobek martabat dan kedaulatan mereka.
"Bersetuju dengan tindakan Kerajaan Malaysia yang mengadakan inisiatif bersama Kerajaan Republik Indonesia dan Kerajaan Brunei Darussalam bagi mengutuk serangan zalim Israel terhadap Palestin serta berkongsi pandangan yang sama supaya komuniti antarabangsa, terutamanya Majlis Keselamatan PBB untuk bertindak segera bagi menghentikan keganasan rejim Israel dan menyelamatkan nyawa rakyat Palestin.
"Bertegas supaya masyarakat antarabangsa mendesak Israel dan Amerika berlaku jujur dan adil dengan
perjanjian untuk menubuhkan negara berdaulat Palestin dengan garis sempadan sebelum tahun 1967," katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.
Selain itu, Pemuda PN turut bertegas supaya masyarakat antarabangsa mendesak Israel dan Amerika berlaku jujur dan adil dengan perjanjian untuk menubuhkan negara berdaulat Palestin dengan garis sempadan sebelum tahun 1967.
Pemuda PN turut menyeru seluruh rakyat Malaysia; individu, persatuan mahupun institusi untuk turut serta dalam kempen #Aid4Palestine yang telah dilancarkan oleh Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.