'Tindakan haramkan komik propaganda bukan kerana desakan politik'

Firdaus Azil
Oktober 24, 2019 11:59 MYT
Pada Rabu, KDN mewartakan perintah larangan terhadap penerbitan komik kontroversi -Inisiatif Jalur Dan Jalan Meraih Manfaat Bersama,- bersekali dengan versi Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina.
Tindakan kerajaan mengharamkan komik propaganda “Inisiatif Jalur Dan Jalan Meraih Manfaat Bersama” bukan kerana desakan pihak tertentu atau tindakan mana-mana pihak, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut Menteri Dalam Negeri itu, pengharaman ke atas penerbitan tersebut dilakukan selepas kementerian mendapati wujud asas yang kukuh berdasarkan isi kandungannya.
“Kita dah teliti dan kaji. Memang ada asas kukuh. Bukan kerana apa-apa sentimen atau tindakan terhadap mana-mana pihak.
"(Pengharaman itu) hanya berdasarkan kandungan. Apatah lagi ia telah diedarkan dalam negara dan dihantar ke sekolah. Jadi, isu ini sudah jadi suatu perkara yang amat serius.
“Sebab itu saya kena ambil tindakan secepat mungkin. Dan saya nak nasihat, larangan sudah dikeluarkan, jadi elok jangan kita baca dan elakkan menggunakannya,” katanya kepada media ketika ditemui di Lobi Parlimen hari ini.
Semalam Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mewartakan perintah larangan terhadap penerbitan komik kontroversi “Inisiatif Jalur Dan Jalan Meraih Manfaat Bersama,” bersekali dengan versi Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina.
Dalam satu kenyataan susulan, KDN berkata, larangan itu dikuatkuasakan ekoran kandungan penerbitan itu mengandungi elemen yang boleh memudaratkan ketenteraman dan keselamatan orang awam, serta mungkin menggemparkan fikiran masyarakat.
Kandungan penerbitan itu antara lain cuba mempromosi ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta salah dan mengelirukan mengenai perjuangan komunis, serta membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan fahaman itu.
#Cina #fakta salah #haram #Inisiatif Jalur dan Jalan #isi kandungan #KDN #Kementerian Dalam Negeri #kerajaan #keselamatan #komik propaganda #komunisme #kontroversi #menggemparkan fikiran #Muhyiddin Yassin #Parlimen #sekolah #sentimen #sosialisme
;