Tindakan halang keluarga berhari raya dengan Anwar tidak adil - Dr Wan Azizah

T K Letchumy Tamboo
Julai 16, 2015 23:34 MYT
Keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berpeluang menyambut Hari Raya pertama bersamanya.
Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, keluarga bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya diberi peluang berhari raya bersamanya pada hari raya keempat dan kelima.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata keluarganya telah memohon untuk bertemu dengan Anwar pada hari raya pertama namun permohonan itu telah ditolak pihak penjara Sungai Buloh.
"Pihak penjara berkata kami tidak boleh bertemu dengan Anwar dari Hari Raya pertama hingga Hari Raya keempat. Kami hanya dibenarkan melawat beliau pada Hari Raya kelima dan keenam.
“Dulu semasa beliau berada di dalam penjara selama enam tahun, kami dapat berjumpa dengannya pada Hari Raya pertama.
"Apabila kami memberitahu perkara ini kepada pihak penjara, mereka berkata peraturan sudah bertukar,” katanya semasa perhimpunan ‘Takbir Raya bersama keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim’ di hadapan penjara Sungai Buloh, malam tadi.
Dr Wan Azizah berkata, tindakan tidak membenarkan keluarganya menghabiskan Hari Raya pertama dengan Anwar adalah tidak adil.
Beliau berkata anak lelaki Anwar, Mohd Ehsan telah pulang ke tanah air dari Amerika Syarikat bersama keluarga untuk melawat bapanya, namun mungkin tidak berkesempatan kerana terpaksa pulang semula pada Hari Raya ketiga.
Sementara itu, lebih 100 orang berkumpul di hadapan penjara Sungai Buloh sebagai tanda solidariti untuk Anwar yang dipenjarakan di situ sejak Febuari tahun ini.
Anwar dipenjarakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhirnya untuk mengenepikan hukuman penjara lima tahun yang dikenakan Mahkamah Rayuan terhadapnya kerana meliwat bekas pembantu Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Antara yang hadir termasuklah ahli politik pembangkang Tian Chua, Nurul Izzah, Zuraida Kamaruddin, N. Surendran dan R. Sivarasa.
Mereka kemudian menyalakan lilin di hadapan penjara sebelum mendengar ucapan serta persembahan nyanyian. Selain itu, juadah dan kuih-muih raya turut diedarkan untuk mereka yang hadir.
#Anwar Ibrahim #hari raya #Nurul Izzah #Penjara Sungai Buloh
;