Tindakan DBKL roboh arca Puncak Purnama dikecam
Syah Hairizal Kamalul Arifin
Julai 2, 2016 20:49 MYT
Julai 2, 2016 20:49 MYT
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur perlu membincangkan terlebih dahulu sebarang tindakan yang diambil terutama berhubung karya seni tempatan.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Datuk Mahadzir Lokman berkata perobohan arca Puncak Purnama yang merupakan karya seniman terkemuka tanah air Datuk Syed Ahmad Jamal tidak sepatutnya dilakukan.
Menurut Mahadzir, perkara itu dimaklumkan sendiri anak Datuk Syed Ahmad Jamal, Syed Nabil Jamal kepadanya pada Jumaat.
"Arca yang dibina pada tahun 1986 itu telah menjadi salah satu mercu tanda negara ketika itu, dan keputusan meroboh ikon negara itu bukan keputusan yang tepat.
"Terdapat cara lain yang boleh dilakukan seperti memindahkannya ke tempat lain," ujarnya ketika ditemui di lokasi arca Puncak Purnama tersebut di Jalan Bandar pada Sabtu.
"Arca yang melambangkan warisan budaya negara kita telah dibuang sama sekali, sepatutnya pihak DBKL memaklumkan jika mereka inginkan tanah ini balik.
"Dan kalau boleh sesiapa yang ingin boleh bawa arca ini ke tempat-tempat yang menyerlah yang boleh dilihat oleh orang awam, dan kalau boleh maklumkan kepada pihak Balai Seni Lukis jugalah," ujarnya.
Jelas Mahadzir, beliau tidak dimaklumkan sama sekali oleh mana-mana pihak berkuasa berhubung tindakan itu.
"Kami tidak tahu langsung, yang kami tahu adalah setelah orang ramai menyampaikannya di laman Facebook yang mempersoal bagaimana ini boleh berlaku," ujarnya lagi.
Menurut Mahadzir, seandainya warisan negara itu tidak musnah sepenuhnya dan pihak DBKL bersetuju menyerahkan kepada Balai Seni Lukis, mungkin langkah memindah dan memulih kembali arca tersebut dapat dilakukan.
"Daripada hancur jadi debu kalau boleh diselamatkan yang sikit ini sahaja dan barangkali mungkin kita boleh buat satu pertandingan kepada sesiapa yang boleh memberikan sedikit nafas baharu seperti A Famosa di Melaka yang dirobohkan tetapi dikekalkan bentuk asal dengan penambahbaikan," katanya.
Pada Jumaat, komuniti kurator tanah air telah memuat naik kerja-kerja perobohan dua bangunan arca Puncak Purnama tersebut.
Pekerja perobohan yang tidak mahu dikenali itu memaklumkan proses meroboh telah dimulakan pada Khamis dan akan diteruskan sehingga arahan terbaharu diterima daripada pihak atasan.
Menurut Syed Nabil Jamal, arca tersebut menjadi sensasi pada 2010 apabila Allahyarham ayahnya memenangi kes tuntutan saman ke atas DBKL yang telah melakukan pengubahsuaian tanpa persetujuan sebagai tuntutan bagi teladan dan ganti rugi hak cipta.
"Arwah Syed Ahmad Jamal telah saman DBKL kerana mengubah suai seni arca itu dan arwah menang kes tu, jadi memang mahkamah berpendapat DBKL salah dan DBKL perlu melakukan pembayaran.
"Selepas itu, kita nampak pengubahsuaian yang telah dibuat DBKL, dan orang ramai ingatkan setelah kes saman itu pihak DBKL akan akurlah dengan melakukan pengubahsuaian kepada keadaan asal. Tetapi semalam dapat berita mereka hendak merobohkannya," katanya lagi.
Nabil berkata tindakan pihak berkuasa tempatan tersebut jelas tidak menghormati komuniti seni dan karya seni tempatan.
"Saya tidak faham kenapa mereka buat ketika hujung minggu dan ketika bulan puasa dan sebelum raya. Sepatutnya berilah peluang dulu untuk berbincang dan beri peluang untuk bangkitkan tentangan dan sebagainya.
"Tetapi perkara itu tidak berlaku, dan pada saya cara yang dibuat adalah tidak elok dan tidak menghormati orang yang menghargai seni dan tak menghormati negara Malaysia," tambahnya.