Tindakan bersepadu, pastikan pindaan undang-undang berkaitan wanita lancar

Bernama
Ogos 22, 2016 07:20 MYT
Azalina berkata kerajaan sentiasa mengambil kira pandangan dan cadangan daripada semua pihak dalam memastikan sebarang perubahan dasar atau undang-undang dapat dibuat mengikut keperluan semasa. - Gambar fail
Satu tindakan bersepadu dengan agensi dan pihak berkepentingan dalam undang-undang melibatkan wanita akan dilakukan segera untuk memastikan pindaan terhadap undang-undang tersebut berjalan lancar dan diterima baik, semua pihak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata satu Nota Jemaah Menteri berhubung isu berkenaan dijangka dibentangkan dalam tempoh terdekat.
Katanya, keputusan ini dibuat berikutan pertemuan beliau bersama-sama wakil badan bukan kerajaan daripada Joint Action Group (JAG) seluruh negara di Parlimen pada Isnin.
"Dalam pertemuan tersebut, saya telah mendengar pandangan dan cadangan mengenai beberapa undang-undang berkaitan wanita.
"Saya dapati beberapa pindaan undang-undang masih tertangguh dan perlu disegerakan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Azalina berkata kerajaan sentiasa mengambil kira pandangan dan cadangan daripada semua pihak dalam memastikan sebarang perubahan dasar atau undang-undang dapat dibuat mengikut keperluan semasa.
Katanya, setiap perubahan dasar atau pindaan undang-undang itu memerlukan penelitian dan kajian menyeluruh.
#Azalina Othman Said #Joint Action Group #perundangan #wanita
;