Tindakan Azam Baki tampil perjelas isu pemilikan saham sudah cukup baik - MCW
Umavathi Ramayah
Januari 22, 2022 12:12 MYT
Januari 22, 2022 12:12 MYT
KUALA LUMPUR: Tindakan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang tampil membuat pendedahan mengenai pertikaian pemilikan saham melebihi RM4 juta saham disifatkan sebagai "sudah cukup baik".
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim menjelaskan, pembelian saham oleh pihak ketiga menggunakan akaun peribadi adalah sesuatu yang normal dan tidak menjadi satu kesalahan mengikut undang-undang sekuriti.
"Saya difahamkan Tan Sri Azam Baki telah mengisytiharkan perkara ini kepada bos beliau pada 2016 dan bos beliau telah memberi nasihat yang bersesuaian.
"Malah jumlah yang terlibat juga telah dimaklumkan dalam sidang media yang lepas di mana beliau telah membenarkan adiknya menggunakan akaun atas pembiayaan sendiri.
"Hal ini dalam undang-undang sekuriti tidak ada halangan, kepada mereka yang selalu berurusan dengan pembelian saham faham akan perkara ini normal.
"Kita membeli saham bukan kita perlu terus membeli. Kita menggunakan wakil untuk membeli dan wakil itu juga tidak akan ditanya mengenai wang berkenaan.
"Dalam kes ini adalah sudah cukup baik apabila Tan Sri Azam Baki menjelaskan adik beliau menggunakan akaunnya menggunakan pembiayaan sendiri dan menukar nama kemudian," katanya kepada Astro AWANI, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, ditanya mengenai perhimpunan #TangkapAzamBaki di ibu negara pada Sabtu, Jais memberitahu, meskipun setiap rakyat mempunyai hak untuk menyatakan pandangan, namun perhimpunan jalanan bukan jalan penyelesaian terbaik.
Menurutnya, kaedah dalam aliran politik untuk meraih sokongan terhadap sesuatu isu tidak sepatutnya digunakan dalam isu ini.
"Ketua Pesuruhjaya SPRM bukan orang politik atau lantikan politik. Justeru saya melihat perhimpunan ini sebagai tidak releven," ujarnya lagi.
Menurutnya lagi, kes melibatkan Azam tidak berkait dengan rasuah, salah guna kuasa atau jenayah berat, sebaliknya ia sengaja dibesar-besarkan bagi menimbulkan kemarahan masyarakat.
"Sebagai Ketua Pesuruhjaya adalah sesuatu yang normal menerima ugutan dan sebagainya.
"Namun kali ini, konspirasi yang wujud jelas kelihatan parti politik menggunakan kes ini bagi mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 yang dijangka diadakan dalam masa terdekat," katanya.
Terdahulu, menurut laporan media, Azam memaklumkan bahawa akaun saham beliau digunakan oleh adiknya untuk membeli saham-saham di pasaran terbuka dengan pembiayaan sendiri.
Ketua Pesuruhjaya SPRM itu berkata, saham-saham yang dibeli adiknya itu tiada kaitan dengan siasatan SPRM atau beliau tidak mempunyai kepentingan ke atas saham-saham terbabit.
Selasa lalu, Suruhanjaya Sekuriti (SC) menerusi satu kenyataan memberitahu, isu pemilikan saham oleh Azam tidak dapat dimuktamadkan mengenai pelanggaran undang-undang di bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA).