Tindakan Anwar rayu pengampunan diRaja, bagai menjilat ludah sendiri - Jamawi

Astro Awani
Februari 24, 2015 22:59 MYT
JAMAWI: Permohonan tersebut secara tidak langsung menunjukkan Anwar mengaku bersalah atas pertuduhan liwat yang dijatuhkan mahkamah sebelum ini - Foto Facebook
Tindakan keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan rayuan kepada Yang Di-Pertuan Agong berhubung keputusan kes liwat beliau pada Selasa disifatkan ibarat 'menjilat ludah sendiri' dan 'cakap tidak serupa bikin'.
Demikian kata Ketua Penerangan Pemuda Umno Malaysia, Jamawi Jaafar dalam satu kenyataan pada Selasa.
“Permohonan yang dibuat oleh isteri beliau, Datin Seri Wan Azizah itu secara tidak langsung menunjukkan Anwar mengaku bersalah atas pertuduhan liwat yang dijatuhkan mahkamah sebelum ini.
“Ia juga bertentangan dengan pendirian awal Anwar yang menegaskan tidak akan sekali-sekali memohon pengampunan daripada Yang Di-Pertuan Agong untuk menunjukkan bahawa beliau tidak bersalah.
“Malah permohonan ini juga dilihat sebagai keputusan keluarga dan bukan keputusan parti. Jelas, dalam keadaan terdesak mereka sanggup berbuat apa sahaja untuk kepentingan sendiri termasuk membelakangkan pendirian terdahulu dan suara parti” kata Jamawi.
Jamawi turut menyeru supaya pengikut tegar Anwar dan PKR serta seluruh rakyat Malaysia supaya sedar kerana tindakan tersebut menurut Jamawi adalah sekadar meraih simpati dan populariti.
Terdahulu, dimaklumkan bahawa Dr Wan Azizah dan anaknya, Nurul Nuha, telah menghantar permohonan itu ke Istana Negara dan seorang lagi anaknya, Nurul Izzah, telah menghantar satu surat rasmi untuk memaklumkan permohonan pengampunan Diraja itu, ke Parlimen.
Perkara ini disahkan kepada Astro AWANI oleh Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil pada Selasa.
#Anwar Ibrahim #Jamawi Jaafar #memohon pengampunan Diraja #Nurul Izzah #Nurul Nuha #Saiful Bukhari #Wan Azizah
;