Tindakan Anonymous Malaysia perlu dipandang serius - Pakar

Astro Awani
Januari 26, 2021 20:40 MYT
Menerusi sebuah video yang dikongsi menerusi akaun Facebook Anonymous Malaysia, 'penjenayah' itu menyifatkan keselamatan siber negara berada di tahap rendah selain berisiko berlakunya kebocoran data.
KUALA LUMPUR: Tindakan Anonymous Malaysia kembali muncul dengan mesej amaran kepada kerajaan Malaysia seharusnya dipandang serius.
Ketua Peneraju Open Web Application Security Project (OWASP) Malaysia, Mohd Fazli Azran berkata, tindakan itu bukan pertama kali dilakukan oleh kumpulan terbabit.
Sebaliknya kata beliau, kumpulan itu pernah melakukan ancaman yang sama pada 2011 dan 2015.
"Cuma pada kali ini, kumpulan itu tidak meletakkan tarikh seperti yang dibuat pada 2011 dan 2015. dakwaan ini sesuatu yang serius kerana melibatkan isu keselamatan data," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI di sini, pada Selasa.
BACA: Tahap keselamatan siber berisiko, penggodam 'Anonymous' beri amaran
BACA: Ancaman serangan siber: Awas! NACSA keluar notis amaran
Sementara itu, pakar keselamatan rangkaian, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Zuriati Ahmad Zukarnain pula berkata, sama ada sedar atau sebaliknya, ketika pandemik ini, orang ramai lebih banyak terdedah kepada ancaman tersebut kerana banyak urus niaga dilakukan secara dalam talian.
"Tahap ancaman adalah berbeza dan berlaku pada setiap masa. Ada di antara mereka yang membuat ancaman seumpama ini adalah hendak menguji pengalaman masing-masing.
"Kalau terima mesej daripada mereka yang tidak dikenali, jangan cepat terpedaya dan buat semakan dulu," katanya.
Amaran penggodam | Apa mesej yang cuba disampaikan?
Setelah hampir enam tahun 'berdiam', kumpulan penggodam yang dikenali sebagai Anonymous Malaysia kembali muncul dengan mesej amaran kepada kerajaan Malaysia.
Menerusi sebuah video yang dikongsi menerusi akaun Facebook Anonymous Malaysia, 'penjenayah' itu menyifatkan keselamatan siber negara berada di tahap rendah selain berisiko berlakunya kebocoran data.
#Anonymous Malaysia #serangan siber #ancaman negara #Majlis Keselamatan Negara #pandang serius #keselamatan siber #tahap rendah
;