Tindakan Alvin Tan, Vivian Lee hina agama Islam - Saksi

Bernama
November 23, 2015 21:22 MYT
Blogger kontroversi, Alvin Tan dan bekas teman wanitanya, Vivian Lee, yang didakwa mempersenda umat Islam pada Ramadan dua tahun lepas, adalah perbuatan yang menghina dan menyindir sensitiviti agama serta umat Islam negara ini. - Gambar Fail
Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bahawa tindakan blogger kontroversi, Alvin Tan dan bekas teman wanitanya, Vivian Lee, yang didakwa mempersenda umat Islam pada Ramadan dua tahun lepas, adalah perbuatan yang menghina dan menyindir sensitiviti agama serta umat Islam negara ini.
Setiausaha Eksekutif Ikatan Relawan India Muslim Malaysia (IRIMM), Datuk Syed Al-Kadir Hassan, 49, berkata tindakan itu mengejutkan pelbagai pihak dan mencetuskan kemarahan khususnya umat Islam.
Pada 13 Julai 2013, beliau dan rakannya yang berkumpul di sebuah kedai makanan marah dan mempersoalkan kewajaran pasangan itu berbuat demikian.
"Secara keseluruhannya, semua orang mengetahui perkataan dalam laman facebook iaitu 'Selamat Berbuka Puasa (with Bak Kut Teh...fragrant, delicious and appetising)' membawa maksud kepada sup tulang babi dan sedia maklum ia bukan untuk umat Islam.
"Pasangan itu tidak sepatutnya berbuat demikian pada Ramadan mahupun bulan-bulan lain," katanya pada hari pertama perbicaraan kes Alvin Tan atau Tan Jye Yee, dan Vivian Lee atau Lee May Ling berhubung catatan dalam laman Facebook.
Mereka didakwa bersama-sama menerbitkan satu penerbitan menghasut dalam laman Facebook Alvin and Vivian-Alvivi bertajuk menyiarkan gambar dengan kapsyen 'Selamat Berbuka Puasa (with Bak Kut Teh...fragrant,delicious and appetising)' dan mengandungi logo Halal pada 9 pagi, 12 Julai 2013, mengikut Subseksyen 4(1)(c) Akta Hasutan.
Mereka turut didakwa terhadap pertuduhan menyiarkan gambar pornografi dalam laman Facebook itu mengikut subseksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 antara 9 malam 6 Julai 2013 dan 2 pagi 7 Julai 2013.
Syed Al-Kadir, pensyarah di Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan saksi ketiga dalam kes itu, juga mempersoal tujuan pasangan itu memaparkan gambar berkenaan kerana ia bukannya perkara gurauan selain bimbang wujudnya persengketaan perkauman.
Semasa disarankan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin sekiranya tajuk gambar itu ditukar menjadi "Jemput makan dengan Bak Kut Teh", beliau berkata perasaan marah masih wujud kerana semua umat Islam mengetahui Bak Kut Teh bukanlah makanan orang Islam.
Sementara itu, penolong pengarah Jabatan Agama Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Hisral Zirhan Md Zahari, 36, memberitahu pihaknya memantau laman sosial Facebook "Alvivi" selepas kes seorang wanita berbogel bergambar bersama bendera Barisan Nasional (BN).
Hisral Zirhan, yang bertugas memantau isu-isu berkaitan agama Islam yang ditimbulkan melalui media sosial termasuk Internet, berkata beliau marah dengan tindakan pasangan itu yang mengaitkan gambar itu dengan amalan ibadah umat Islam.
Katanya beliau memahami maksud 'Bak Kut Teh' secara umumnya adalah sejenis makanan kaum Cina yang mengandungi daging yang tidak halal untuk umat Islam
seperti daging babi.
Pada pengetahuannya, secara umumnya ramuan untuk memasak dan menyediakan
makanan itu adalah menggunakan daging babi.
Perbicaraan di hadapan Hakim Abdul Rashid Daud bersambung esok.
-- BERNAMA
SYJ SSA NAK
#Akta Penapisan Filem 2002 #Alvin Tan #Facebook #Syed Al-Kadir Hassan #Vivian Lee
;