Tindakan Agong manifestasi keharmonian Raja dan demokrasi - Shamrahayu

Israr Khalid
Jun 11, 2021 06:40 MYT
Apa pun keputusan yang terhasil daripada Sidang Khas Raja-Raja Melayu 16 Jun ini, kata Shamrahayu, ia telah dibuat secara musyawarah dalam amalan Raja Berperlembagaan di negara ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tidak timbul soal campur tangan institusi Raja dalam sistem demokrasi negara apabila Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengadakan siri pertemuan dengan para pemimpin parti politik negara.
Jelas Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz, baginda menjadi pengimbang antara kedua-duanya dalam mencari penyelesaian bersama terhadap masalah yang didepani negara.
“Saya fikir apa yang dilakukan baginda Yang di-Pertuan Agong menunjukkan ada keharmonian antara institusi Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.
“Daripada pertemuan dengan pemimpin-pemimpin parti, kemudian akan disembahmaklumkan kepada Raja-Raja supaya baginda boleh buat keputusan sebagaimana yang kita harapkan, iaitu dengan penuh kebijaksanaan dan kebestarian,” jelasnya.
Yang di-Pertuan Agong telah memanggil para pemimpin parti politik negara menghadap baginda di Istana Negara sejak Rabu.
BACA: Isu MAGERAN tidak dibincangkan dalam pertemuan dengan Agong - Zahid
BACA: Maximus ketua parti politik terakhir menghadap YDP Agong hari ini
Ia akan disusuli dengan satu Sidang Khas Raja-Raja Melayu dijadual berlangsung pada 16 Jun ini.
Apa pun keputusannya daripada sidang tersebut, jelas Shamrahayu, ia adalah keputusan yang dibuat secara musyawarah dalam amalan Raja Berperlembagaan di negara ini, bersama demokrasi.
“Saya nampak ada keserasian. Dan dari segi simboliknya, wujud rasa hormat menghormati antara kedua-duanya.
“Kita mahukan kedua-dua sistem itu bergerak serentak dengan hala tuju yang sama, iaitu kesejahteraan negara dan rakyat,” ujar beliau.
BACA: Agong tanya bila waktu sesuai adakan PRU15 - Dr Mahathir
BACA: Rakyat sudah letih dengan polemik politik, dapatan kajian terbaharu Ilham Centre
Tonton temu bual penuh Shamrahayu dalam Agenda AWANI bersama hos Dzulfitri Yusop, di sini:
Agenda AWANI: Analisis perkembangan politik semasa
#Agenda Awani #pengimbang #campur tangan #Yang di-Pertuan Agong #Raja-raja Melayu #Shamrahayu Abd Aziz #demokrasi #Parlimen #Raja Berperlembagaan #sidang khas #pertemuan #pemimpin parti #keharmonian #musyawarah
;