Tindakan 400 jemaah B40 tolak subsidi haji bantu lestarikan kewangan Tabung Haji - Mohd Na'im

Bernama
Oktober 2, 2023 01:43 MYT
Mohd Na'im berkata penentuan golongan sasar yang layak menerima subsidi untuk menunaikan fardhu haji bukan dibuat secara semberono sebaliknya ditentukan oleh kerajaan dibantu agensi berkaitan. - Gambar Bernama
IPOH: Tindakan 400 jemaah haji kategori B40 yang menolak pemberian subsidi tahun ini meskipun layak menerimanya dilihat mampu membantu melestarikan kewangan Tabung Haji.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata keputusan itu turut memberi peluang kepada jemaah lain yang lebih memerlukan menggunakan subsidi berkenaan untuk menunaikan tuntutan Rukun Islam kelima itu.
"Jadi disinilah fungsi yang sedang tabung haji lakukan iaitu memberikan pencerahan dan penjelasan kepada masyarakat Islam khususnya kepada pendeposit-pendeposit Tabung Haji tentang prinsip atau falsafah berkaitan kemampuan.
"Perkara ini yang sedang kita uar-uarkan, apabila mereka (B40) ada kemampuan dan tolak subsidi bermakna ia boleh digunakan oleh Tabung Haji untuk bantu jemaah yang lebih memerlukan untuk menunaikan ibadat ini dengan jayanya," katanya ketika ditemui pada sidang media selepas menghadiri Program Rahmah MADANI di Dewan Putra Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Putra di sini, pada Isnin.
Beliau berkata penentuan golongan sasar yang layak menerima subsidi untuk menunaikan fardhu haji bukan dibuat secara semberono sebaliknya ditentukan oleh kerajaan dibantu agensi berkaitan.
"Kita adakan kerjasama bersama pelbagai pihak termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk dapatkan data bagi setiap pendeposit sama ada mereka dari kategori B40, M40 atau T20," katanya.
Mengulas mengenai program hari ini Mohd Na'im berkata RM200,555 disumbangkan kepada 89 penerima sekitar Parlimen Tambun yang terkesan akibat bencana ribut pada 2 Okt lepas.
Katanya sumbangan itu diharap dapat meringankan beban, selain digunakan dalam membaiki kerosakan yang berlaku dikediaman setiap penerima.
"Penerima sumbangan ini adalah berpandukan senarai yang disedia dan diselaraskan oleh pihak berkuasa negeri. Saya juga mengucapkan terima kepada kerajaan negeri dan juga agensi kerajaan di peringkat negeri yang telah terlibat sama dalam menjayakan program ini," katanya.
-- BERNAMA
#agensi kerajaan #LHDN #bencana ribut #Tabung Haji
;