Timor Leste sedia bakal amah ke Malaysia

Bernama
Mei 24, 2016 12:39 MYT
Timor Leste telah menghantar tenaga kerja ke beberapa negara seperti United Kingdom dan Korea Selatan, terutamanya tenaga kerja lelaki dan terlibat dalam bidang tekstil dan fabrik. - Gambar fail
Timor Leste bersedia membekalkan tenaga kerja sebagai pembantu rumah ke negara ini sekiranya negara pembekal utama seperti Indonesia bercadang menghentikan penghantaran rakyatnya untuk bekerja di Malaysia.
Duta Besar Republik Demokratik Timor Leste ke Malaysia, Jose Antonio Amorim Dias berkata secara berperingkat, pihaknya mampu membekalkan sehingga 50,000 pembantu rumah ke Malaysia sekiranya diperlukan.
"Sebelum ini pernah ada perbincangan dengan pihak kerajaan Malaysia berhubung isu pembantu rumah dari Timor Leste, namun sehingga kini tidak ada sebarang perkembangan lanjut mengenainya.
"Kami bersedia sekiranya pihak kerajaan Malaysia mahu membincangkan perkara itu dengan lebih lanjut. Jika nanti sudah ada perjanjian ditandatangani dengan terma-terma yang dipersetujui kedua-dua pihak, tidak sukar rasanya untuk kami bekalkan tenaga kerja sebagai pembantu rumah ke negara ini," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.
Amorim Dias berkata perkara itu sangat dialu-alukan memandangkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara, Malaysia dan Timor Leste juga sangat baik.
"Lagipun, tiada masalah kekangan bahasa memandangkan penduduk Timor Leste kebanyakannya fasih berbahasa Indonesia yang memudahkan komunikasi dengan rakyat negara ini," katanya.
Amorim Dias berkata sehingga kini, Timor Leste telah menghantar tenaga kerja ke beberapa negara seperti United Kingdom dan Korea Selatan, terutamanya tenaga kerja lelaki dan terlibat dalam bidang tekstil dan fabrik.
"Sebagaimana kami buat dengan Korea Selatan, sebaik sahaja kami tandatangani persetujuan dengan kerajaan Korea Selatan, mereka hantar wakil ke Timor Leste untuk mengajar mengenai bahasa, budaya dan skop kerja kepada tenaga kerja berkenaan.
"Sekiranya sudah ada persetujuan dengan kerajaan Malaysia untuk membawa masuk pembantu rumah dari negara kami, nanti wakil dari Malaysia boleh datang dan beri latihan tentang apa yang perlu diketahui tenaga kerja ini," katanya.
Pada 20 Mei 2002, Timor Timur yang sebelum ini merupakan wilayah ke-27 Indonesia diiktiraf sebagai negara merdeka dengan nama Timor Leste.
Malaysia dikhuatiri menghadapi masalah kekurangan pembantu rumah sekiranya negara pembekal utama, Indonesia bertegas untuk menghentikan penghantaran rakyatnya untuk bekerja sebagai pembantu rumah di negara asing termasuk Malaysia, mulai tahun depan.
Media sebelum ini melaporkan rancangan Indonesia untuk menghentikan penghantaran wanita negaranya untuk bekerja sebagai pembantu rumah di luar negara yang tinggal bersama majikan.
Rancangan itu selaras pengumuman kerajaan Indonesia pada 2012 yang menyasarkan untuk menghentikan penghantaran pembantu rumah Indonesia ke luar negara menjelang 2017, bertujuan melindungi kepentingan rakyat negara itu.
Di bawah rancangan itu, kerajaan Indonesia bercadang untuk menyediakan latihan untuk meningkatkan kemahiran pekerjanya, supaya mereka akan dihantar ke negara-negara yang memerlukan perkhidmatan mereka, sebagai pekerja separuh mahir.
Selain itu, rancangan itu juga akan memastikan pembantu rumah bekerja pada waktu yang tetap, mendapat cuti hujung minggu dan cuti umum.
Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa) Jeffrey Foo ketika dihubungi Bernama berkata setakat ini terdapat kira-kira 150,000 pembantu rumah dari pelbagai negara bekerja di Malaysia dan seramai kira-kira 50,000 darinya adalah dari Indonesia.
#Jose Antonio Amorim Dias #Timor Leste bersedia membekalkan tenaga kerja sebagai pembantu rumah ke negara ini sekiranya negara pembekal utama seperti Indonesia bercadang menghentikan penghantaran rakyatnya untuk bekerja di Malaysia
;