Timbang semula eksport bawang dari India ke negara jiran - Shahidan

Bernama
November 13, 2016 07:02 MYT
Sistem pengeksportan bawang dari India ke negara jiran dikhuatiri membuka peluang kepada kemungkinan aktiviti haram lain. - Gambar hiasan
Kerajaan perlu mempertimbangkan semula pengimportan bawang dari India ke Malaysia untuk dieksport semula ke negara jiran melalui sempadan Malaysia-Thailand, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.
Beliau berkata ini kerana terdapat kemungkinan pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menjadikan kegiatan ini untuk berselindung di sebalik aktiviti haram kerana proses import dan eksport hanya dilakukan dari lori ke lori berdekatan Pos Imigresen Wang Kelian tanpa melibatkan urusan di gudang khas.
"Saya risau wujudnya kegiatan eksport bawang ini sebagai pelindung kepada aktiviti haram yang lain antaranya membawa keluar minyak bersubsidi paket satu kilogram, minyak petrol, senjata api dan dadah.
"Malah jika difikirkan secara logik, kenapa urusan eksport bawang tidak dibuat di gudang khas tetapi dipindahkan secara terus daripada satu lori ke lori yang lain tanpa melalui proses yang lebih sistematik," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau sekitar kawasan pemunggahan barang eksport di sini, pada Ahad.
Turut hadir Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri (KPDNKK) Perlis, Khairul Amin Talib.
Ketika tinjauan dibuat, lori yang berfungsi sebagai tempat pemindahan bawang secara terus langsung tidak kelihatan di kawasan itu.
Selain itu, Shahidan turut merayu agar kerajaan membuka semula laluan di zon pergerakan bebas di sini yang menyumbang kepada kehadiran pelancong ke Perlis saban tahun.
Beliau berkata pihaknya bercadang menempatkan sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis sebagai pasukan rondaan sempadan di kawasan sempadan bagi membantu KPDNKK memperketat pengawasan dan pemantauan terhadap kegiatan penyeludupan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis, Datuk Kamarudin Jaafar ketika dihubungi Bernama berkata operasi di kawasan pemunggahan di Wang Kelian hanya beroperasi pada Isnin hingga Jumaat.
Namun katanya, jika pengeksport ingin melakukan aktiviti pemunggahan barang eksport pada Sabtu, Ahad atau cuti umum, perkara itu perlu dimaklumkan kepada pihaknya secara bertulis.
"Permohonan untuk aktiviti pemunggahan wajib dibuat selewat-lewatnya sehari sebelum kerja-kerja dilaksanakan untuk tujuan rekod pihak kami," katanya. -- BERNAMA
#bawang #eksport bawang #KPDNKK #Shahidan Kassim
;