Timbang kenaikan elaun Komando VAT 69 - KPN

Aida Aziz
Oktober 23, 2019 05:05 MYT
Sebahagian sambutan Jubli Emas 69 Komando di Padang Kawad Briged Utara PGA, Ulu Kinta hari ini. Astro AWANI/AIDA AZIZ
Kerajaan diminta untuk mempertimbangkan kenaikan elaun Pasukan Komando VAT 69, setimpal dengan beban tugas dan psikologi yang ditanggung pasukan tersebut.
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, bagi merealisasikan harapan itu, beliau akan bertemu dengan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membincangkan perkara itu.
"Saya akan usaha untuk memohon daripada kerajaan supaya elaun yang mereka terima dapat dinaikkan, setimpal dengan titisan peluh dan beban psikologi yang mereka tanggung.
"Bukan ramai pun Komando. Kita tahu, dalam 100 orang yang memohon masuk (69 Komando), yang akhirnya mungkin dapat, sembilan ke 10 orang saja. Yang lain, gagal. Bayangkan, 10 orang yang berjaya itu, bagaimana kualitinya.
"Kita bagilah mana yang wajar. Dan saya percaya, memang wajar mereka diberikan kenaikan elaun yang lebih tinggi," katanya.
BACA: Generasi muda diseru sertai Komando 69
Abdul Hamid berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Sambutan Jubli Emas 69 Komando di Padang Kawad Briged Utara Pasukan Gerakan AM (PGA), Ulu Kinta, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.
Abdul Hamid berkata, sehingga kini, terdapat 661 orang anggota dalam unit tersebut dan pihaknya masih giat untuk meningkatkan jumlahnya kepada 1,000.
"Hendak memenuhkan penjawatan sedia ada ini, 661 orang ini pun tak mampu, sebab, kita nak cari the best among the best," ujarnya.
BACA: PDRM mohon pertimbangan khas tambah anggota VAT69, UTK
Tambahnya, pembinaan Markas 69 Komando yang baharu juga bakal memantapkan lagi gerak kerja warga 69 Komando dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.
Projek pembinaan di tapak berkeluasan 400 ekar itu, di lokasi bersebelahan Markas Briged Utara, bermula pada 2018 dan dijangka siap pada awal 2021.
#Abdul Hamid Bador #beban psikologi #elaun #Ketua Polis Negara #komando #Muhyiddin Yassin #polis #Ulu Kinta #VAT 69