Timbalan PM Australia lawat Malaysia, Filipina minggu ini

Bernama
Ogos 22, 2023 16:39 MYT
Richard Marles dijadual melawat Malaysia dan Filipina untuk kukuhkan hubungan serta kerjasama dua hala dalam bidang pertahanan dan keselamatan. - Reuters
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Australia Richard Marles dijadual melawat Malaysia dan Filipina pada minggu ini untuk mengukuhkan lagi hubungan serta kerjasama dua hala dalam bidang pertahanan dan keselamatan.
Semasa lawatannya di Kuala Lumpur, Marles bersama-sama Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan dijadual mempengerusikan mesyuarat ketiga Jawatankuasa Peringkat Tinggi dan bertemu kakitangan Angkatan Pertahanan Australia di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Butterworth, Pulau Pinang.
Marles kemudian akan berlepas ke Filipina untuk menyaksikan dengan lebih dekat latihan dua hala di bawah program Indo-Pacific Endeavour 2023, selain bertemu Setiausaha Pertahanan Filipina Gilberto Teodoro.
"Saya tidak sabar untuk melawat Malaysia dan Filipina dan bekerjasama dengan rakan kongsi untuk memastikan rantau kami terus menyokong keselamatan dan kemakmuran kolektif.
"Lawatan saya menunjukkan komitmen kerajaan untuk melabur dalam perkongsian di Asia Tenggara. Perkongsian yang menyokong wilayah yang lebih aman, stabil dan makmur," katanya dalam satu kenyataan di laman sesawang rasmi Jabatan Pertahanan Kerajaan Australia.
Indo-Pacific Endeavour 2023 ialah aktiviti penglibatan serantau utama Australia dan menyokong tumpuan kerajaan dalam memperdalam perkongsian diplomatik dan pertahanan di seluruh Asia Tenggara dan Timur Laut Lautan Hindi.
Menurut kenyataan itu, Australia dan Malaysia mempunyai perkongsian yang mendalam dan berkekalan berdasarkan sejarah, kepentingan bersama dan kekukuhan hubungan peribadi.
-- BERNAMA
#Australia #Timbalan Perdana Menteri Australia #lawatan #keselamatan #pertahanan
;