Timbalan Pesuruhjaya III Pas Melaka meninggal dunia

Bernama
Ogos 11, 2024 13:16 MYT
Allahyarham Muhamat Puhat sebelum itu sedang bermain futsal kategori ibu bapa sebelum rebah dan tidak sedarkan diri, kira-kira 12.30 tengah hari tadi. - Gambar Astro AWANI
MELAKA: Timbalan Pesuruhjaya III Pas Melaka Muhamat Puhat Bedol meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung, ketika menyertai Kejohanan Sukan Bola Sepak dan Bola Jaring Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Melaka di Kompleks Sukan Batu Berendam, di sini hari ini.
Ahli Jawatankuasa Perhubungan Pas Melaka Datuk Kamarudin Sidek berkata Allahyarham Muhamat Puhat, 55, yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Hang Tuah Jaya sebelum itu sedang bermain futsal kategori ibu bapa sebelum rebah dan tidak sedarkan diri, kira-kira 12.30 tengah hari tadi.
Kamarudin, yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Jasin berkata Allahyarham sempat diberi bantuan pernafasan cemas (CPR) oleh peserta lain pada program itu, sebelum dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Ketika diberi CPR, Allahyarham Muhamat Puhat sempat sedarkan diri seketika sebelum muntah dan dikejarkan ke hospital namun meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata solat jenazah akan dilakukan di Madrasah Al-Ikhlas Taman Jati di Batu Berendam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Bidadari Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Ayer Keroh di sini selepas maghrib.
Muhamat Puhat dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya III Pas Melaka bagi sesi 2023-2025.
-- BERNAMA
#bola sepak #PAS #meninggal dunia #futsal