Timbalan Perdana Menteri New Zealand lawat Malaysia

Bernama
Mac 26, 2019 13:33 MYT
Peters dijadual bertemu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Saifuddin Abdullah dan Datuk Seri Anwar Ibrahim
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar New Zealand Winston Peters akan melakukan lawatan kerja dua hari ke Malaysia bermula hari ini.
Menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Selasa, Peters dijadual bertemu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan anggota Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim esok (Rabu).
"Lawatan ini menyediakan peluang bagi kedua-dua negera meneroka cara untuk mengukuhkan kerjasama dua hala sedia ada dalam pelbagai bidang seperti perdagangan, pelaburan, pendidikan, pelancongan, pertahanan dan hubungan antara rakyat," menurut kenyataan itu.
Berikutan serangan pengganas di dua masjid di Christchurch pada 15 Mac, kedua-dua pihak juga dijangka membincangkan cara untuk mengukuhkan kerjasama dua hala dalam memerangi keganasan.
Seorang remaja Malaysia terbunuh manakala tiga lagi rakyat Malaysia cedera dalam serangan di New Zealand itu yang mengakibatkan 50 orang terbunuh dan 42 orang cedera.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #kerjasama dua hala #Malaysia #New Zealand #pelaburan #pelancongan #pendidikan #pertahanan #rakyat #Saifuddin Abdullah #TPM new zealand #Wan Azizah Wan Ismail #Winston Peters #Wisma Putra
;