Timbalan Menteri Luar ketua delegasi Malaysia ke NAM

Astro Awani
Januari 15, 2024 21:05 MYT
Mohamad akan menyampaikan Kenyataan Malaysia semasa sesi Debat Umum Sidang Kemuncak NAM dan Third South Summit. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Third South Summit of the Group of 77 and China (G77+China) di Kampala, Uganda dari 17 hingga 22 Januari nanti.
Dalam satu kenyataan Wisma Putra memaklumkan, sebagai Ketua Delegasi, Mohamad akan menyampaikan Kenyataan Malaysia semasa sesi Debat Umum Sidang Kemuncak NAM dan Third South Summit.
Kenyataan Malaysia antara lain akan menekankan keperluan untuk mengukuhkan perpaduan dan solidariti dalam kalangan negara-negara membangun NAM dan G77+China, serta memantapkan proses pelbagai hala.
"Timbalan Menteri Luar Negeri juga akan menyentuh isu-isu utama global dan serantau, termasuk situasi di Palestin, Laut China Selatan, Islamofobia, Agenda Pembangunan Mampan 2030, tindakan iklim, dan reformasi Institusi Kewangan Antarabangsa.
"Sebagai ahli Jawatankuasa NAM mengenai Palestin, Malaysia juga akan mengetengahkan pendirian negara berhubung isu Palestin; memperjuangkan hak penentuan nasib sendiri dan kenegaraan mereka berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara; dan mengheret Israel ke muka pengadilan untuk genosid dan jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza," kata kenyataan tersebut.
Kehadiran Mohamad dan penglibatan aktif Malaysia di NAM dan G77+China mencerminkan komitmen negara dalam mengukuhkan Kerjasama Selatan-Selatan.
"Ini memberi peluang untuk Malaysia meneroka kerjasama menerusi Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) yang berada di bawah seliaan Kementerian Luar Negeri," katanya lagi.
Republik Uganda, selaku Pengerusi NAM (2024 - 2027) dan Pengerusi G77+China (2024) akan menganjurkan Sidang Kemuncak NAM ke-19 dan Third South Summit, yang masing-masing bertemakan “Deepening Cooperation for Shared Global Affluence” dan “Leaving No One Behind”.
Mohamad juga dijadualkan bertemu dengan rakan sejawatnya termasuk dari rantau Afrika, yang mempamerkan kepentingan rantau tersebut.
Selain itu ia juga untuk menilai dan mengorak langkah-langkah strategik hubungan dua hala dengan
negara-negara berkaitan.
#Mohamad Alamin #Kementerian Luar Negeri #Wisma Putra #NAM #Uganda #delegasi #kenyataan Malaysia
;