Timbalan Menteri Luar adakan lawatan kerja ke Republik Czech, Austria, Poland dan Perancis

Bernama
Februari 13, 2022 12:57 MYT
Lawatan itu akan bertumpu kepada memperkukuh lagi kerjasama yang aktif dan saling menguntungkan dengan rakan kongsi Malaysia itu. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar akan mengadakan lawatan kerja ke Republik Czech, Austria dan Poland bermula hari ini hingga 21 Feb.
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan berkata, Kamarudin juga akan menghadiri Forum Menteri-menteri bagi Kerjasama di Indo-Pasifik di Paris pada 22 Feb.
"Timbalan Menteri akan mewakili Malaysia dalam forum berkenaan bagi menggalakkan kerjasama dalam bidang strategik di rantau ini," kata kenyataan itu.
Dalam lawatan itu, Kamarudin dijadual mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Republik Czech serta rakan sejawatannya.
Di Austria, beliau juga dijadual bertemu Setiausaha Agung, Menteri Persekutuan bagi Hal Ehwal Eropah dan Antarabangsa Austria. Di Poland, beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dan bertemu dengan Timbalan Ketua Senat.
Lawatan itu akan bertumpu kepada memperkukuh lagi kerjasama yang aktif dan saling menguntungkan dengan rakan kongsi Malaysia itu.
Menurut Wisma Putra, lawatan kerja itu ini akan dilakukan dengan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Malaysia dan negara terlibat," kata kenyataan itu.
-- BERNAMA
#Kamarudin Jaffar #Timbalan Menteri Luar #lawatan kerja #Wisma Putra #Republik Czech #Perancis
;