Timbalan Menteri Kesihatan gesa pembaharuan dasar dadah dalam mesyuarat ISAM

Bernama
September 10, 2024 05:50 MYT
Lukanisman menyampaikan ucaptama pada mesyuarat serantau Persatuan Perubatan Ketagihan Antarabangsa di Kuala Lumpur semalam. - Foto Kementerian Kesihatan
KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni menggesa agar pembaharuan dasar dadah dilakukan dengan segera dan menekankan keperluan untuk dekriminalisasi.
Beliau berkata ia adalah pendekatan berasaskan prinsip kesihatan awam, hak asasi manusia, dan keadilan sosial, yang membayangkan semula dasar dadah sedia ada sebagai satu cara untuk membawa pelbagai manfaat kepada sektor kesihatan.
"Menyahkriminalisasi penggunaan dadah membantu meminimumkan akibat berbahaya yang berkaitan dengan penggunaannya.
"Ini membolehkan kami mengalihkan sumber daripada langkah punitif kepada strategi pengurangan kemudaratan, seperti program pertukaran jarum dan penyediaan ubat-ubatan yang menyelamatkan nyawa, seperti metadon.
"Selain itu, apabila penggunaan dadah didekriminalisasikan, individu lebih cenderung untuk mendapatkan rawatan dan sokongan, yang membawa kepada hasil kesihatan yang lebih baik, termasuk pengurangan penularan penyakit berjangkit serta bahaya lain yang berkaitan dengan penggunaan dadah," katanya.
Isu tersebut ditekankan dalam ucaptamanya di mesyuarat serantau Persatuan Perubatan Ketagihan Antarabangsa (ISAM) pada Selasa, yang bertemakan 'Managing Addiction through Integrated Intervention in the Challenging Era' (Menguruskan Ketagihan melalui Intervensi Bersepadu dalam Era yang Mencabar).
Lukanisman berkata usaha menyahkriminalisasi penggunaan dadah adalah pendekatan yang berperikemanusiaan dan menjimatkan kos, apabila sumber yang kini dibelanjakan untuk penguatkuasaan undang-undang, proses kehakiman, dan pemenjaraan boleh dialihkan kepada penambahbaikan penjagaan kesihatan, pendidikan, dan perkhidmatan sosial.
Menurutnya tindakan menyahkriminalisasian penggunaan dadah bukan sahaja mencabar stigma dan diskriminasi yang dihadapi oleh pengguna dadah, tetapi juga menangani ketidakadilan sosial yang berlaku akibat perang terhadap dadah, serta mengurangkan kesan undang-undang dadah yang tidak seimbang terhadap komuniti terpinggir."
"Kesan dasar dadah bukan sahaja mempengaruhi individu tetapi juga keluarga mereka. Dekriminalisasi membolehkan individu kekal berhubung dengan keluarga, menerima sokongan, dan mengekalkan kestabilan, yang penting untuk pemulihan dan kesejahteraan mereka," katanya.
Beliau berkata walaupun Malaysia komited untuk menerajui pembaharuan dasar dadah melalui penyahkriminalisasian dan rawatan yang lebih baik, sokongan antarabangsa serta kerjasama masyarakat tempatan, penyedia penjagaan kesihatan, dan penguatkuasaan undang-undang diperlukan untuk melaksanakan pendekatan yang berkesan bagi menangani ketagihan dengan penuh belas kasihan.
-- BERNAMA
#Lukanisman Awang Sauni #penyakit berjangkit #nyahkriminalisasi penggunaan dadah #Dadah
;