Timbalan MB Kelantan lelong keris untuk dana Palestin
Bernama
Mei 16, 2021 12:52 MYT
Mei 16, 2021 12:52 MYT
KOTA BHARU: Bagi membantu rakyat Palestin yang menderita angkara kekejaman rejim Zionis, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah melelong empat bilah keris, koleksi peribadinya.
Mohd Amar dalam hantaran di akaun Facebooknya dengan tajuk 'Lelongan Amal Untuk Palestin', menyatakan hasrat untuk 'melepaskan' barangan peribadinya yang telah dikumpul hampir 30 tahun itu bagi memberi sumbangan kepada rakyat Palestin.
"Saya berhasrat untuk melepaskan beberapa koleksi saya untuk tujuan amal dana Palestin. Antaranya sebilah Keris Melela Lok 5 hasil tukang Kelantan (Arwah Stopa), bertatah perak, lok cun, hulu pipit teleng, serta gelang dan kasut putih.
Seratus peratus hasil lelongan ini akan didermakan kepada #Aid4Palestine. Insya-Allah. Semoga dipermudahkan," menurut hantaran tersebut.
Ketika dihubungi, Mohd Amar turut menyasarkan kutipan minimum bagi penjualan empat bilah keris sebanyak RM20,000.
"Tunggu pengumuman selanjutnya selepas ini...Bermula dengan koleksi keluarga dan kesemua koleksi keris ini ada yang lama dan baru," tambahnya.
Hantaran 'Lelongan Amal Untuk Palestin' melalui akaun Dato' Nik Amar telah dikongsi 400 pengguna Facebook dan mendapat lebih 3,500 tanda suka, setakat 11 pagi ini.
-- BERNAMA