Tikus, lipas berkeliaran di dapur dan stor

Sinar Harian
Februari 24, 2023 12:30 MYT
Dr Pathman dan Rozita membuat pemeriksaan di salah sebuah dapur premis yang diperiksa dalam operasi di Anjung Samudera, Kota Kinabalu. -Foto Sinar Harian
KOTA KINABALU: Tikus dan lipas berkeliaran di bahagian dapur dan stor antara punca enam premis restoran diarahkan tutup oleh Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu dalam operasi pemeriksaan premis makanan di Anjung Samudera pada malam Khamis.
Dalam operasi itu, sebanyak 21 premis telah diperiksa di mana 10 kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan membabitkan kebersihan di dalam restoran.
Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu, Rozita Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan pihaknya berjaya menemui pelbagai kesalahan di mana pemilik gagal memastikan premis mereka dalam keadaan bersih.
"Ini termasuk kehadiran lalat, lipas dan tikus serta najis haiwan berkenaan yang dilihat berkeliaran di sekitar kawasan dapur dan stor premis yang diperiksa.
"Jadi apabila kita nampak keadaan itu kita tiada kompromi, premis berkenaan diarahkan tutup untuk tempoh 14 hari tetapi sekiranya dalam dua atau tiga hari pemilik premis dapat membuat tindakan penambahbaikan, kita akan bantu mereka buka premis lebih awal," katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi itu.
Rozita turut berkata, pemilik atau pekerja turut memberikan pelbagai alasan berikutan penemuan pelbagai keadaan yang tidak bersih di dalam premis masing-masing.
"Antara alasan yang diberikan ialah mereka sibuk dan baru saja mengambil alih premis berkenaan selain baru beroperasi sebulan menyebabkan tidak ada masa untuk memeriksa bahagian premis berkenaan.
"Kita tahu alasan yang diberikan tidak munasabah tetapi kita pun menjalankan tugas dan tindakan diambil selain meminta mereka membuat penambahbaikan sebelum premis dibuka semula," katanya.
Selain itu, Rozita memaklumkan antara kesalahan lain yang ditemui termasuk pekerja tiada sijil pengendalian makanan, kad pemeriksaan kesihatan serta gagal mendapatkan suntikan tifoid.
"Ada juga dikompaun dari RM500 hingga RM1,000 mengikut kesalahan. Walaupun markah premis itu tinggi tetapi jika tiada sijil pengendalian makanan dan kad kesihatan, kami tetap kompaun juga bagi mengelak kejadian penyakit berjangkit bawaan makanan.
"Ini bukan untuk menghukum tetapi kita cuba membimbing mereka supaya dapat menyediakan makanan yang selamat untuk pelanggan terutama kawasan ini menjadi tumpuan pelancong luar negara," katanya.
Katanya lagi, semua kesalahan dan tindakan yang diambil adalah di bawah 34(1) Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 iaitu gagal memastikan kebersihan premis makanan, Perkara 31(f) iaitu gagal memastikan kebersihan pengendali makanan dan Perkara 32(1)(b) iaitu gagal mematuhi kehendak pakaian pengendali makanan.
Operasi itu disertai seramai 22 anggota dan pegawai yang diketuai oleh Ketua Sektor Kawalan Penyakit Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu Dr Pathman Arumugam. -Sinar Harian
#Tikus dan lipas berkeliaran #premis restoran diarah tutup #Anjung Samudera #Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu
;