TikToker meninggal dunia selepas dipercayai terima komen negatif netizen

Gempak
Ogos 9, 2022 10:20 MYT
Setakat ini tiada laporan yang dibuat oleh si mati atas dakwaan menjadi mangsa gangguan buli siber. - Gambar hiasan
SEORANG pengguna TikTok menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke hospital dari rumahnya di Subang Jaya, Selangor, selepas dipercayai cuba membunuh diri semalam.
“Mangsa telah dibawa oleh keluarganya ke hospital dalam keadaan masih bernafas dan meninggal dunia dalam perjalanan.
"Hasil siasatan awal dimaklumkan bahawa si mati pernah mengalami tekanan perasaan dan mendapat rawatan di sebuah klinik swasta di Petaling Jaya.
"Pemeriksaan tempat kejadian dan fizikal si mati telah dibuat, tiada kesan berlakunya unsur-unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai Mati Mengejut (SDR).
"Bedah siasat telah dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya," menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya.
Polis berkata, setakat ini tiada laporan yang dibuat oleh si mati atas dakwaan menjadi mangsa gangguan buli siber.
Terdahulu, media melaporkan ibu kepada tiga anak, Shashikala Nadarajah, 44 tahun, ‘dibuli secara siber’ berkaitan penampilan dan koleksi beg tangan di akaun media sosial.
Beberapa pengguna TikTok turut menyalahkannya kerana diganggu secara seksual, melalui komen pada video yang dia siarkan mengenai perkara itu.
Shashikala mempunyai lebih 30,000 pengikut di TikTok dan dia sering berkongsi pandangannya tentang pelbagai topik seperti persekolahan di rumah, gangguan seksual dan cara mengekalkan penjagaan beg tangan mewah.
Videonya diterbitkan dalam bahasa Inggeris dan Tamil. - Gempak

*Orang ramai dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.

Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi dengan para sukarelawan terlatih di Befrienders.
Befrienders ialah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.
Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7956 8145/8144 atau e-mel kepada sam@befrienders.org.my untuk bantuan.
Panggilan adalah percuma.

#TikToker #buli siber #meninggal dunia #media sosial
;