TikTok: Tenaga manusia masih diperlukan walaupun keperluan AI meningkat
Pia Ernadya
Mei 16, 2024 20:35 MYT
Mei 16, 2024 20:35 MYT
KUALA LUMPUR: Walaupun terdapat pemintaan yang tinggi terhadap kecerdasan buatan (AI) dalam pasaran, namun bagi syarikat TikTok, keperluan tenaga manusia masih tetap diperlukan.
Menurut Ketua Dasar Awam TikTok Malaysia, Anuar Fariz Fadzi, keperluan tenaga manusia tetap diperlukan untuk melihat dan menapis kandungan yang tidak beretika di aplikasi tersebut.
"Sebab itu campur tangan manusia amat penting dan sangat diperlukan. Mesin adalah mesin.. apa sahaja yang kita lakukan dengan mesin, kita boleh cuba untuk gunakan, tetapi hasilnya tak akan sebaik seperti manusia.
"Jadi kami melatih moderator kami untuk memeriksa jika terdapat individu tertentu di TikTok yang di bawah umur contohnya... atau beberapa perkara kontekstual lain yang mungkin mesin tidak sedar.
"(Contohnya) pembulian dalam cara yang sangat halus," katanya ketika perbincangan panel bertajuk Memperkasakan Ibu Bapa sebagai Penjaga Alam Digital pada Khamis.
Tambahnya, terdapat 40,000 moderator di seluruh dunia telah dikerahkan untuk memantau dan mengendali kandungan di aplikasi itu.
"Keselamatan adalah utama kami di sini dan misi kami adalah untuk memberi inspirasi kepada kreativiti, dan kami tidak boleh memberi inspirasi kepada kreativiti jika ruang yang disediakan adalah tidak selamat," ujarnya.
Dalam nada yang sama, Anuar turut berkata bahawa jika terdapat kes buli yang berlaku kepada pengguna aplikasi tersebut, AI akan memainkan peranan utama untuk mengesan tetapi campur tangan manusia juga diperlukan untuk membantu proses dalam pengesanan.
Antara kaedah campur tangan yang dimaksudkan Anuar adalah dengan membuat laporan.
"Di TikTok, kami mempunyai garis panduan komuniti yang membincangkan tentang bahaya, penyalahgunaan, pornografi malah narkotik.. jadi pembulian termasuk dalam (kategori) itu.. dan jika pembulian dikesan.. (pengguna) akan dibuang keluar kerana ia melanggar garis panduan komuniti.
"Jangan lupa sebagai pengguna aplikasi TikTok, kita boleh melaporkan jika kita ada nampak kes buli sedang berlaku. Itu adalah kerjasama yang pihak kami cuba untuk pupuk.
Tegasnya lagi, kegunaan AI ini bukanlah sesuatu yang sempurna dan tidak dinafikan bahawa keperluan tenaga manusia itu juga membantu.
Tetapi, Anuar menyarankan jika sesiapa ada melihat sesuatu yang tidak beretika di aplikasi tersebut, katakanlah sesuatu, dan pihak mereka juga akan melakukan sedaya upaya untuk membantu.
"Kami ingin mewujudkan sebuah ruang yang selamat dan kami ingin menginspirasi sebuah komuniti yang membawa kegembiraan. Pembulian tidak membawa kegembiraan kepada sesiapa pun," katanya lagi.