TikTok Malaysia sahkan pemberhentian kakitangan

Amirul Aiman
Oktober 11, 2024 10:05 MYT
TikTok Malaysia yang beroperasi di bawah syarikat induknya, ByteDance Ltd mengesahkan berlaku pemberhentian kakitangan yang terlibat dalam bahagian kandungan, walaupun jumlah sebenar pekerja yang terlibat belum didedahkan.
KUALA LUMPUR: TikTok Malaysia yang beroperasi di bawah syarikat induknya, ByteDance Ltd mengesahkan berlaku pemberhentian kakitangan yang terlibat dalam bahagian kandungan, walaupun jumlah sebenar pekerja yang terlibat belum didedahkan.
TikTok menjelaskan, langkah yang diambil ini merupakan sebahagian daripada usaha mereka untuk memperkukuh model operasi global kandungan.
"Kami membuat perubahan ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkuat model operasi global bagi penyelaras kandungan.
“Kami menjangkakan pelaburan sebanyak AS$2 bilion secara global dalam bidang kepercayaan dan keselamatan pada 2024 dan terus mempertingkatkan keberkesanan usaha ini, dengan 80 peratus kandungan melanggar peraturan kini dipadamkan secara automatik," kata jurucakap TikTok dalam kenyataan pada Jumaat.
Pada Khamis, laporan media menyatakan TikTok telah memberhentikan ratusan kakitangan di Malaysia.
Sumber yang rapat dengan cawangan syarikat di Malaysia memberitahu The Malaysian Reserve (TMR), lebih daripada 500 kakitangan telah diberhentikan selepas menerima e-mel daripada syarikat tersebut.
Ini bukan kali pertama ByteDance melakukan pemberhentian kakitangan.
Pada Jun, syarikat itu telah mengurangkan 450 pekerja di Indonesia selepas pengambilalihan sebuah syarikat e-dagang tempatan dan penggabungannya dengan operasi TikTok di negara tersebut.
Selain itu, laporan pada Mei juga menyebut TikTok merancang pengurangan besar dalam pasukan operasi dan pemasaran globalnya.
Tags: TikTok, ByteDance, pemberhentian kakitangan, moderasi kandungan
#TikTok #ByteDance #pemberhentian kakitangan #aplikasi TikTok #terkini
;