TikTok lancar kempen literasi digital untuk dorong seluruh rakyat supaya #ThinkTwice

Bernama
September 5, 2024 23:25 MYT
Anuar Fariz Fadzil berkata kempen itu menggalakkan komuniti dalam talian untuk merenung teliti apa yang mereka kongsi. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: TikTok telah memulakan kempen #ThinkTwice bagi menggalakkan rakyat Malaysia membantu mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat dan positif dengan kerjasama dengan Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), All Women's Action Society (AWAM) dan Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA ).
Ketua Dasar Awam bagi Malaysia di TikTok Anuar Fariz Fadzil berkata kempen itu menggalakkan komuniti dalam talian untuk merenung teliti apa yang mereka kongsi, ulas serta siarkan dalam talian; melalui kandungan pendidikan dan bermaklumat, webinar serta pelbagai sumber.
"Di TikTok, kami menggalakkan pengguna kami untuk mempunyai kebebasan dan peluang untuk menyuarakan pandangan diri mereka secara autentik dan kreatif dalam persekitaran yang selamat dan positif.
"Melalui #ThinkTwice, dengan kerjasama CMCF, AWAM, dan MIASA, kami mahu memperkasakan rakyat Malaysia untuk bertanggungjawab terhadap tindakan mereka dalam talian dan menggalakkan mereka menyumbang kepada persekitaran komuniti dalam talian yang sihat dan positif," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif CMCF Mediha Mahmood berkata kempen #ThinkTwice menggalakkan orang ramai mengamalkan kawal selia kendiri dengan mengambil berat tentang kandungan yang mereka kongsi dan bersopan dalam komen mereka.
"Interaksi kita dalam dunia digital mencerminkan siapa kita sebagai individu dan sebagai masyarakat. Kitalah yang seharusnya menjadi contoh positif yang boleh dilihat dan diikuti oleh orang lain," katanya.
TikTok juga menggalakkan pengguna menggunakan hashtag #ThinkTwice untuk memainkan peranan yang lebih aktif dalam memupuk komuniti yang lebih selamat dengan mencipta dan berkongsi kandungan yang positif dan bermaklumat.
Pencipta kandungan TikTok seperti @yimotapir, @lawyergandhi, @ggatorart dan @wfsufina telah menyertai usaha #ThinkTwice, meningkatkan kesedaran, mempromosi interaksi yang bertanggungjawab kepada audiens mereka melalui kandungan pendidikan dan kreatif mereka.
Selain itu, TikTok sebagai destinasi utama untuk video mudah alih, juga akan mengadakan satu siri Sesi Langsung sejajar dengan Hari Kesihatan Mental Sedunia bulan depan, menampilkan profesional kesihatan mental, pakar dan pencipta kandungan.
-- BERNAMA
#TikTok #kesihatan mental #contoh positif #pencipta kandungan
;