TikTok adakan pertemuan dengan KKD, MCMC minggu depan - Fahmi
Astro Awani
Oktober 12, 2023 20:01 MYT
Oktober 12, 2023 20:01 MYT
SHAH ALAM: Pengendali aplikasi TikTok dijangka mengadakan satu lagi pertemuan dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi memberi penjelasan lanjut serta solusi berkaitan berita palsu, iklan dan kandungan di platform terbabit, pada minggu depan.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, ketiadaan wakil perhubungan kerajaan di Malaysia di platform itu sejak tamat Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu menyebabkan kadar pematuhan undang-undang platform itu kurang memuaskan.
"Kita lihat tahap pematuhan pihak TikTok dengan undang-undang dan peraturan di Malaysia tidak memsuakan dan ini saya telah sampaikan kepada pihak pengurusan TikTok (semalam) dan minta mereka datang bertemu pihak kementerian dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) minggu depan.
"Salah satu sebab kenapa perkara-perkara ini berlarutan antara lain ialah mereka tidak mempunyai wakil perhubungan kerajaan sejak tamat PRN yang lalu, dan satu tempoh yang lama," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Malaysia’s First 5G Autonomous Warehouse di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Fahmi memberitahu, dalam pertemuan dengan pengurusan tertinggi TikTok diketuai oleh Naib Presiden Global TikTok Helena Lersch pada Rabu, beliau telah meminta pengendali platform itu menyediakan beberapa maklumat tambahan.
"Ada dua perkara yang dibangkitkan, pertama mengenai TikTok dan kedua mengenai TikTok shop. Perkara ini akan diteliti pihak kementerian pada minggu-minggu yang akan datang," jelasnya.
Sebelum ini, dalam satu perkongsian di laman Facebooknya, Fahmi menjelaskan pematuhan operasi TikTok perlu diperbetul segera.
Katanya, selain perlu beroperasi mengikut garis panduan dan undang-undang Malaysia, TikTok juga mesti lebih proaktif mengekang penularan berita palsu dan bahan berbaur fitnah yang disebarkan di platform itu, termasuk penularan yang bersifat Coordinated Inauthentic Behaviour (CIB).
Sementara itu, mengenai majlis pelancaran itu, Fahmi memberitahu, CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) bekerjasama dengan peneraju pasaran global, DHL Supply Chain Malaysia (DHL) untuk penyelesaian logistik kontrak untuk mengendali sistem pengurusan inventori autonomi kecerdasan buatan (AI) dikuasai 5G yang pertama di Malaysia.
Katanya, ia memanfaatkan potensi dron autonomi, DHL yang lebih baik dan cekap pada tahap optimum.