Tiket penerbangan tidak wujud, pemilik syarikat agensi pelancongan didenda RM3,000

Bernama
Jun 22, 2022 19:14 MYT
Mahkamah turut memerintahkan wanita Korea itu dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pemilik syarikat agensi pelancongan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memperdayakan seorang wanita warga tempatan untuk mendapatkan tiket penerbangan ke Korea membabitkan kerugian RM10,200.
Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim menjatuhkan hukuman itu terhadap wanita warga Korea Selatan, Lee Chorong, 38, yang mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan memperdayakan seorang wanita berusia 29 tahun untuk mempercayai bahawa tertuduh boleh mendapatkan tiket penerbangan ke Korea yang tertuduh ketahui ia tidak wujud.
Perbuatan itu mendorong mangsa menyerahkan wang RM10,200 kepada tertuduh.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah Kondominium di Bukit Jalil pada 16 April lepas mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut memerintahkan wanita Korea itu dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.
Timbalan Pendakwa Raya Aisyah Mohamed Zanyuin memohon hukuman setimpal supaya dapat memberi pengajaran kepada tertuduh memandangkan kesalahan itu serius.
Peguam Muhammad Syafiq Salleh yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda dengan alasan ini merupakan kesalahan kali pertama anak guamnya selain dia mempunyai dua anak berumur antara setahun dan tiga tahun.
-- BERNAMA
#warga korea selatan #tipu tiket penerbangan #agensi pelancongan #mahkamah
;